Wednesday, 4 June 2014

Budak 11 tahun mekanik kereta

Tuan Asyraaf menghabiskan masa luangnya mempelajari ilmu mengenai enjin kereta daripada abangnya yang juga seorang mekanik.
Tuan Asyraaf menghabiskan masa luangnya mempelajari ilmu mengenai enjin kereta daripada abangnya yang juga seorang mekanik.

DUNGUN - Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Biarpun umurnya baru 11 tahun, anak seorang mekanik, di sini, sudah pandai membaiki enjin kenderaan.

Malah Tuan Asyraaf Tuan Muter mula berjinak-jinak dengan kerja membaiki enjin kereta sejak umurnya 9 tahun lagi.

Bakatnya itu diwarisi daripada bapanya, Tuan Muter Tuan Putih, 53, yang membuka bengkel kenderaan di rumah mereka dekat Gong Pasir sebelum dia diserang angin ahmar kira-kira lapan bulan lalu.

“Saya nak jadi mekanik yang berjaya suatu hari nanti, dapat buka bengkel kereta sendiri,” kata murid tahun lima SK Batu 48 itu.

Tuan Asyraaf berkata, dia tidak kisah dipandang sinis oleh rakan sebayanya berikutan dia memilih melakukan pekerjaan yang terpaksa bergelumang dengan minyak dan kotoran.

Katanya, dia yakin kerja membaiki kenderaan yang diminatinya itu memberikan masa depan yang cerah walaupun jika dia gagal dalam pelajaran.

“Kerja baiki kereta juga boleh dapat banyak duit jika dilakukan secara bersungguh-sungguh.

“Apa pun saya bangga dengan pekerjaan ini kerana ia juga satu pekerjaan halal dan boleh menjamin masa depan,” katanya.

Bagaimanapun Tuan Asyraaf berkata, walaupun sangat meminati pekerjaan itu, dia tidak pernah melupakan pelajarannya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, dia cuma melakukan pekerjaan itu selepas pulang dari sekolah, manakala masa terluang cuti sekolah pula dimanfaatkan untuk mendalami ilmu membaiki kenderaan daripada abangnya, Tuan Syed Azhan, 24, yang juga
seorang mekanik.

Katanya, dia kini sudah dapat menguasai kerja asas enjin seperti menukar minyak pelincir, penapis, membuka tayar dan servis enjin.

"Setiap hari saya akan belajar perkara baru berkaitan enjin dan sejak tiga tahun saya membantu abang di bengkel, sudah banyak yang saya pelajari," katanya.

Menurutnya, setakat ini dia banyak membaik pulih kereta buatan tempatan seperti Proton Saga, Wira dan Perodua.

Bagaimanapun, dia bercita-cita mahu mendalami selok-belok enjin kereta buatan Eropah kerana tidak ramai mekanik yang mahir dengan kenderaan import itu.

“Kalau ada peluang, saya nak belajar enjin kereta BMW, Mercedes dan Audi.

“Mana tahu saya dapat jadi mekanik profesional yang mahir tentang enjin kereta mewah suatu hari nanti,” katanya. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment