Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
1. Pagi ini saya sekali lagi berhalangan untuk menyampaikan kuliah di Medan Ilmu. Hasrat saya untuk mengulas tentang PRK Teluk Intan di sana, namun kesihatan yang tidak mengizinkan menyebabkan saya terpaksa meminta ia digantikan dengan kuliah yang lain.
2. Berhubung pilihan raya kecil Teluk Intan, ramai yang bertanya pendirian saya berhubung isu hudud setelah calon DAP dikatakan membuat kenyataan menolak hudud. Saya tegaskan bahawa hudud merupakan satu kewajipan. Mana-mana orang Islam wajib menerima hukum ini sebagaimana mereka menerima kewajipan bersolat dan berpuasa. Pas tidak pernah lari dari kewajipan ini bahkan konsisten mempertahankannya semenjak dari hari ia ditubuhkan lagi.
3. Di Teluk Intan, kerusi tersebut ialah kerusi DAP yang merupakan rakan tahaluf siyasi Pas. Bersama-sama DAP dan juga PKR, Pas telah bekerjasama membentuk Pakatan Rakyat dan sama-sama memperjuangkan keadilan dan membanteras rasuah. Sehingga hari ini DAP belum pernah menzalimi Pas sebagaimana yang dilakukan Umno sebelum ini.
4. Justeru, apabila calon DAP dikatakan menolak hudud, ia tidak mengejutkan kerana itulah perbezaan Pas dengan DAP. Dalam hal ini, Pas sewajibnya berusaha lebih gigih memberikan kefahaman kepada DAP agar kebaikan dan keindahan hukum Islam ini dapat difahami dan diterima. Sebab itu, saya sentiasa menaruh harapan agar satu hari nanti DAP menerima hasrat Pas ini hasil dakwah berterusan yang tidak henti-henti.
5. Usia Pakatan Rakyat baru sahaja lima tahun. Dalam masa lima tahun, adalah satu perkara yang logik jika DAP masih belum memahami hasrat Pas dalam isu ini. Pihak yang patut malu ialah Umno yang telah setengah abad bersahabat dengan parti-parti komponen bukan Melayu dalam BN, namun hingga sekarang masih gagal memberikan kefahaman tentang Islam. Bahkan ada ahli Parlimen Umno sendiri secara terang-terangan mengeluarkan kenyataan untuk mengundi menolak hudud di Parlimen nanti.
6. Saya kira Umno perlu menilik wajah di cermin sebelum mentohmah Pas kononnya menggadaikan prinsip. Jerawat, kurap dan panau di badan sendiri masih bertompok merata tiba-tiba jari lurus menuding kononnya orang lain itulah pesakit kusta! Sedarkah Umno bahawa parti Gerakan itulah yang menjanjikan rantai manusia bagi menghalang hudud dibentang?
7. Saya ingatkan sekali lagi, elakkanlah menjadikan isu hudud sebagai bahan kempen di Teluk Intan. Dalam pertarungan DAP dan Gerakan ini, tiada untungnya isu ini ditimbulkan. Pada saya, harapan saya tetap ingin melihat PR menang di Teluk Intan dan hudud akhirnya berjaya dilaksanakan!
Salam hormat.
DATUK NIK ABDUL AZIZ NIK MAT,
Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu.
23 Rejab 1435H
______________________________________________________________
* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri yang disiarkan di laman Sinar Harian Online.
No comments:
Post a Comment