Ulat bulu yang mati setelah disembur racun perosak. - Foto Sinar Harian
SUNGAI KELAMAH – NEGERI SEMBILAN. Serangan ulat bulu di Taman Pinggiran Sungai Kelamah dan Sekolah Kebangsaan Sungai Kelamah serta rumah berdekatan sekolah berkenaan, sejak tiga minggu lalu menimbulkan rasa kurang selesa kira-kira 300 penduduk.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, kehadiran ulat bulu berwarna hitam itu dipercayai datang dari kawasan lapang di taman berkenaan, manakala, penduduk mendakwa bilik pra sekolah yang terletak di kawasan Felda juga diserang ulat bulu.
Seorang penduduk, Normalinah Azmidon, 29, berkata, keadaan itu sering menyebabkan dua anaknya berusia tiga dan lima tahun mengalami masalah kegatalan di bahagian badan.
“Saya rasa kurang selesa dengan keadaan seperti ini dan terpaksa membelanjakan wang untuk membeli racun serangga bagi membunuh ulat bulu berkenaan.
"Sekiranya tidak disembur dengan racun serangga, ia akan memenuhi kawasan rumah dan menjadi aktif dari waktu pagi hingga ke tengah hari,” katanya ketika ditemui di kediamannya, dekat sini.
Seorang lagi penduduk, Hassan Baba, 51, berkata, dia sudah menetap di kawasan perumahan itu lebih empat tahun lalu dan kejadian itu baru pertama kali berlaku di penempatan berkenaan.
"Disebabkan masalah ulat bulu ini, saya terpaksa menutup tingkap dan pintu rumah serta ruang di bawah pintu bagi mengelakkannya masuk ke rumah lebih-lebih lagi rumah saya memang terletak sebelah padang.
"Saya harap ada pihak atau agensi kerajaan berkaitan dapat memberikan kerjasama menghapuskan ulat bulu ini memandangkan penduduk telah mengalami masalah ini sudah hampir sebulan," katanya
Sementara itu, Adun Gemas, Abd Razak Ab Said berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan dia juga sudah meninjau serta melihat sendiri banyak ulat bulu berada di kawasan rumah serta kedai makan di taman berkenaan.
“Buat masa ini, hanya Majlis Daerah Tampin (MDT) yang menghulurkan bantuan meracun ulat bulu berkenaan dan saya berharap ada lagi agensi lain yang dapat membantu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di sini," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penduduk Taman Wawasan, Kuala Pilah yang turut mengadu ulat bulu membanjiri kawasan perumahan mereka sejak tiga minggu lalu.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment