Gambar Hiasan
KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia hari ini akibat keracunan makanan dipercayai selepas memakan lauk yang dibeli dari sebuah pasar malam di sini, Sabtu lepas.
Muhammad Iqbal Rafie meninggal dunia kira-kira 1 petang semalam ketika dalam perjalanan untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
Ibunya Siti Zuriana Mohd Yusoff, 28, berkata anak tunggalnya itu ke pasar malam itu bersama-sama suaminya pada kira-kira 6.30 petang dan membeli ayam goreng, nasi goreng dan air keladi.
Beliau berkata hanya suaminya Rafie Mohd Ilme, 31, dan anaknya yang menjamah makanan itu sebaik mereka tiba di rumah mereka di Bukit Payung Marang.
"Kira-kira 7 pagi semalam, mereka mengadu sakit perut dan cirit-birit sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bukit Payong.
"Sehingga pagi tadi, keadaan anak dan suami masih serupa dan kami sekali lagi ke klinik kesihatan sama untuk rawatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mayat HSNZ di sini.
Sebaik tiba di pusat kesihatan itu, keadaan anaknya semakin lemah dan terpaksa menerima bantuan pernafasan sebelum dikejarkan ke HSNZ untuk rawatan lanjut.
Siti Zuriana berkata semasa dalam perjalanan ke HSNZ, beliau menyedari nadi anaknya tiada manakala suaminya yang bertugas sebagai tentera di Kem Padang Midin masih lemah.
"Sebelum ini, Muhammad Iqbal cergas dan aktif serta tidak menghidapi sebarang penyakit," katanya.
Rafie pula berhasrat untuk mengambil tindakan terhadap peniaga pasar malam itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Muhammad Pehimi Yusof berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kematian kanak-kanak itu.
Pihaknya masih menunggu laporan daripada doktor berhubung kes itu dan jika berpunca daripada keracunan makanan, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap peniaga terbabit, katanya ketika dihubungi.
Astro Awani
No comments:
Post a Comment