Saturday, 22 March 2014

Bateri litium-ion dibawa MH370 tidak berbahaya


KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines (MAS) hari ini menjelaskan bateri litium-ion yang dibawa oleh MH370 pada 8 Mac lepas mematuhi keperluan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabanga (IATA).

Syarikat itu dalam satu kenyataan di sini berkata item berkenaan diklasifikasi sebagai barangan tidak berbahaya.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya dilapor berkata dalam taklimat media bahawa barangan tersebut dibungkus seperti yang disaran oleh ICAO dan kargo itu diperiksa beberapa kali selaras dengan garis panduan ICAO.

Beliau juga berkata syarikat penerbangan lain turut berbuat demikian, bukan MAS semata-mata.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 239 orang hilang pada awal pagi 8 Mac, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pelbagai teori timbul susulan kehilangan pesawat itu termasuk kemungkinan berlaku kebakaran yang menyebabkan anak kapal hilang upaya.

Misi mencari yang melibatkan pelbagai negara sehingga kini gagal mengesan pesawat tersebut.

Bernama

No comments:

Post a Comment