MELAKA: Lebih 100 orang 'tonto' dilaporkan mengepung anggota Jabatan Imigresen Melaka kira-kira dua jam di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya pada Rabu malam.
Pemangku Pengarah Imigresen Melaka, Abu Bakar Sidek Hasan berkata dalam kejadian 7 malam itu, seramai 23 anggota Grup Taktikal Khas dan tujuh anggota penguat kuasa Imigresen berjaya keluar daripada premis terbabit bersama 35 warga asing termasuk 34 wanita dipercayai pelayan pelanggan (GRO) dengan diiringi 15 anggota polis dari Balai Polis Bandar Hilir.
"Tanpa bantuan, pasukan kita mungkin bermasalah kerana bangunan pusat hiburan tersebut dikepung lebih 100 orang yang kita percaya tonto untuk menghalang anggota Imigresen membawa keluar GRO terbabit.
"Beberapa tonto juga bertindak mengambil gambar nombor pendaftaran kenderaan yang dinaiki anggota kita yang dikhuatiri untuk tujuan tidak elok," katanya kepada pemberita Khamis di Kompleks Keselamatan Dalam Negeri.
Beliau berkata beberapa pelanggan lelaki tempatan dalam keadaan mabuk juga bertindak mempersoalkan tindakan anggota Imigresen menahan kumpulan GRO terbabit, namun ketegangan tersebut dapat diatasi dengan baik.
Mengulas lanjut tentang operasi yang mereka jalankan, Abu Bakar Sidek berkata seramai 33 wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga China yang kesemunya berusia antara 18 hingga 35 tahun ditahan ketika sedang melayan pelanggan di bangunan tiga tingkat yang mula beroperasi seawal jam 3 petang.
Beliau berkata turut ditahan ialah seorang lelaki warga Bangladesh berusia 26 tahun yang dipercayai pekerja pusat hiburan tersebut.
"Antara GRO yang ditahan iaitu warga China berusia 30-an yang merupakan isteri kepada warganegara tempatan, manakala seorang daripada mereka dipercayai 'ibu ayam' warga Vietnam yang berusia 35 tahun," katanya.
Beliau berkata berdasarkan intipan selama tiga hari sebelum serbuan dilakukan, GRO terbabit akan dihantar dengan kenderaan dalam kumpulan kecil secara berperingkat bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan mereka akan dibawa keluar dari pusat hiburan tersebut oleh pelanggan yang berminat.
Katanya siasatan awal mendapati 13 wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga China terbabit disyaki melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan manakala 20 wanita warga Vietnam dan lelaki Bangladesh itu dipercayai masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit sah.
"Semua mereka yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah untuk siasatan lanjut," katanya.
Bernama
No comments:
Post a Comment