KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 26 tahun yang dituduh menipu beberapa orang di sekitar Lembah Klang berjaya ditangkap di sebuah pusat membeli-belah pada Selasa apabila beberapa mangsa bekerjasama memerangkap suspek tersebut.
Penangkapan lelaki yang mendakwa dirinya seorang model dan pelakon disahkan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed, pada Khamis.
Menurutnya, suspek kini ditahan reman sehingga Jumaat.
“Dia mendakwa dirinya seorang agen pelancongan dengan memberitahu mangsa dia mampu untuk mengatur perjalanan percutian. Tetapi selepas menerima bayaran deposit, dia terus menghilangkan diri,” Arjunaidi memberitahu Astro AWANI.
Apabila ditanya sama ada pihak polis daerah PJ bekerjasama dengan pihak polis daerah lain tentang kes yang melibatkan suspek yang sama, Arjunaidi berkata ia adalah di luar bidang kuasanya. “Kami hanya ada satu kes, kes-kes yang tidak terjadi di PJ, kami tidak boleh mengulas mengenai ini,” katanya.
Menurut satu sumber yang mendakwa dirinya merupakan mangsa terbaru suspek tersebut, lelaki itu dikenali sebagai seorang yang pandai berkata-kata selain membuat pelbagai tawaran termasuk untuk mendapatkan iPhone murah, set TV LCD dan barang-barang fesyen berjenama.
Suspek tersebut dipercayai mula menjalankan kegiatannya sejak 2010 dan didakwa menipu beberapa ikon hiburan tempatan termasuk penerbit filem, Raja Azmi serta selebriti seperti Anzalna Nasir, Betty Rahmad dan Hanez Suraya.
Astro Awani
No comments:
Post a Comment