KUALA LUMPUR: Biarpun baru putus cinta sebulan lalu, Lyri Ng tidak pernah berputus asa untuk mencari lelaki idamannya.
Bagi wanita berusia 22 tahun ini, dia selalu mendengar kisah rakan-rakan yang pernah menemui pasangan hidup mahupun suami pada malam Chap Goh Mei menarik minatnya untuk mencuba.
Chap Goh Mei atau dalam bahasa Hokkien, malam kelima belas dipercayai membawa tuah cinta kepada mereka yang belum berpasangan.
Juga dikenali sebagai hari kekasih atau hari Valentine versi Cina, golongan muda yang belum berkahwin akan berkumpul untuk membaling limau ke dalam sungai atau tasik dengan harapan untuk mencari pasangan hidup mereka.
Lyry Ng
Lyri yang mengambil bahagian dalam tradisi itu buat pertama kalinya menulis nama dan nombor telefon pada buah limau mandarin dengan harapan dikutip oleh lelaki idamannya.
"Saya baru 'clash' dengan boyfriend jadi sangat sedih lah. So datang sini kenal kawan baru."
Lyri adalah seorang daripada ratusan wanita yang mengambil bahagian dalam acara buang limau Chap Goh Mei pada malam tadi di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras.
Limau yang dibuang ke tasik pula akan dikutip oleh peserta lelaki yang ingin mencari teman wanita.
Biarpun hujan lebat, namun ia tidak menghalang ramai wanita dan lelaki yang tidak berpasangan memeriahkan sambutan Chap Goh Mei menandakan semangat tinggi untuk mencari pasangan hidup menerusi acara setahun sekali itu.
Namun bagi penulis berasa agak keliru mengapa Lyri yang masih muda dan mempunyai rupa paras yang cantik memerlukan bantuan daripada limau mandarin untuk mencari cinta?
"Tengok kepada jodoh lah, kalau Tuhan nak bagi, kita akan dapat cari pasangan yang baik." jelas Lyri.
Bagi golongan lelaki pula mereka berasa cukup seronok mengutip limau kerana ia dilihat cara mudah untuk bertemu rakan wanita yang baru.
Lee Ming Fai, 30 tahun berjaya meraih lebih 10 buah limau dengan harapan peluang tinggi dapat menemui wanita idamannya.
"Saya ada mendapat banyak limau. Selalunya saya akan menghantar SMS kepada mereka." kata Lee.
Bagi Roy Tee yang pernah menyertai acara itu pada tahun-tahun sebelumnya mengakui bukan senang berjumpa pasangan dengan mengutip limau.
"Tahun lalu, saya dapat ramai kenalan tetapi ramai daripada mereka sebenarnya tinggal jauh malah ada yang sehingga di Sabah dan Sarawak. Jadi agak sukar untuk bertemu selalu. Tetapi seronok lah dapat buat kawan baru." kata Tee.
Namun di era komunikasi lebih mudah menerusi internet dan pelbagai laman sosial, Lyri masih berpendapat cara membaling limau lebih berkesan.
"Sebab Facebook terlalu banyak orang kan, kita tidak tahu orang itu baik atau tidak. Jadi ini pertama kali saya nak cuba cara ini untuk kenal kawan-kawan baru." kata Lyri lagi.
Namun bagi mengikut trend semasa, ada juga menulis alamat email atau nama akaun Twitter, Facebook dan WeChat di atas limau.
Ada juga yang sudah berpasangan tetapi turut mengambil bahagian semata-mata untuk merasai kemeriahan sambutan itu.
"Teman wanita saya ingin datang mengalami sendiri pengalaman ini kerana kami tidak pernah sertai aktiviti seperti ini dan kami jangkakan ia akan menjadi acara yang meriah." kata Daniel Tan yang hadir bersama teman wanitanya, Penny.
Secara tradisi pada malam Chap Goh Mei, kaum wanita yang belum kahwin akan buang limau kerana dipercayai dalam masyarakat Hokkien bahawa "buang limau dapat suami baik" dan bagi lelaki "buang epal dapat isteri baik". Namun disebabkan harga epal yang lebih mahal, trend lebih popular sekarang membabitkan lelaki yang belum berpasangan akan membuang pisang.
Ada juga tulis harapan pada limau kerana dipercayai malam Chap Goh Mei cukup bertuah dan segala hasrat akan termakbul.
Apa yang pasti kemeriahan Chap Goh Mei dapat dirasai dengan masyarakat Tiong Hua berkumpul untuk meraikan hari kelima belas Tahun Baru Cina sebagai simbolik penutup sambutan itu.
Astro Awani
No comments:
Post a Comment