Thursday, 27 February 2014

Pelan catu air atau angin?


SEPANG : Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) diminta mematuhi jadual catuan air selain tidak menghentikan pelan penghantaran air menggunakan lori tangki kepada penduduk selama ini.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, kebanyakan penduduk di Sepang sudah tidak tahan lagi dengan kesengsaraan hampir tiga minggu keputusan air sekali gus menyifatkan pelan catuan merupakan rahmat kepada mereka.

Penduduk, Muhamad Syukur Sabari berkata, pelan catuan air yang dijadual bermula pukul 9 pagi Khamis disifatkan tidak terlaksana.

"Sekarang sudah petang, pili bukan mengeluarkan air tapi hanya angin. Jangan pelan hanya tinggal pelan. Syabas perlu ikut jadual catuan yang mereka sendiri tetapkan,'' katanya.

Pelan catuan air Syabas yang dimulakan pada Khamis hanya melibatkan kawasan-kawasan yang mengalami masalah bekalan iaitu Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Catuan bermakna bekalan air akan disediakan untuk dua hari dan dua hari lagi tanpa air di beberapa kawasan terlibat.

Dalam pada itu, penduduk, Azifal Aziz meminta tekanan air yang disalur semasa pelan catuan harus kuat dan tidak terlalu rendah.

"Kalau rendah sama sahaja, kita takung air sehari hanya dapat satu baldi. Lebih baik lori yang hantar, walau terpaksa tunggu tiga atau empat jam tetapi kita tahu sekurang-kurangnya dapat simpan kira-kira dua atau tiga baldi.

"Ramai jira-jiran dan saya sendiri terkilan. Selepas hampir tiga minggu baru hendak umum pelan ini. Kenapa tidak umum awal-awal dan mungkin masalah ini selesai?,'' ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Belia Bukit Changgang, Shahriri Amir menyifatkan kekecewaan penduduk sudah di tahap tertinggi dan meminta jaminan pelan catuan air berjaya.

Sementara itu, Pengerusi Briged Kesatria Muda Selangor, Norazli Said menyifatkan bantuan tong-tong air kepada penduduk sebagai langkah prihatin pihaknya terhadap pelan catuan air.

"Kita beri tong air di kebanyakan kediaman, walau sumbangannya kecil ia tanda inisiatif briged dan diharap penduduk dapat bersedia dengan pelan catuan ini,'' jelasnya.

Sebanyak 70 kawasan yang terlibat dibahagikan kepada dua zon iaitu Zon 1 dan Zon 2 dalam Wilayah Hulu Langat dan dua zon lagi, Zon 1 dan Zon 2 dalam Wilayah Kuala Langat dan Sepang.

Kedua-dua Zon A dan Zon B ini akan bergilir-gilir menerima bekalan air selama dua hari dan dua hari tiada air yang dijangka berlarutan sehingga akhir bulan Mac.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment