KUALA LUMPUR: Juara termuda MotoGP Dunia, Marc Marquez dari Sepanyol dan pelumba muda Tour de France, Nairo Quintana dari Colombia adalah antara pesaing pilihan untuk "Laureus World Breakthrough of the Year Award 2014".
Dalam satu kenyataan pada Rabu, penganjur Anugerah Sukan Dunia Laureus berkata Marquez, 20, yang juga penunggang pertama memenangi gelaran dunia di awal musim penglibatannya adalah penunggang termuda dalam sejarah 65 tahun Kejohanan Dunia itu yang menjuarai tiga kelas berbeza -- 125 cc, Moto2 dan MotoGP.
Quintana, 23, pula melakukan kejutan pada Tour de France 2013, memenangi tempat kedua keseluruhan dan memenangi gelaran Raja Bukit dan Jersi Penunggang Muda.
"Persembahan Quintana adalah yang terbaik daripada seorang penunggang Amerika Latin dan dia adalah peserta muda kejohanan itu yang naik podium sejak 1996," kata kenyataan itu.
Biarpun memiliki pencapaian cemerlang, Marquez dan Quintana masih menghadapi persaingan sengit daripada ramai bakat muda sukan terhebat, termasuk pemain golf Lydia Ko dari New Zealand dan Guan Tianlang dari China serta ahli gimnastik dari Amerika Syarikat Simone Biles dan Yana Kudryavtseva dari Rusia.
Lain-lain pesaing dalam kategori itu ialah pasukan kriket Afghanistan di mana di dalam sebuah negara yang terjejas akibat peperangan, kriket muncul sebagai satu kebanggaan negara.
Nama keenam-enam calon untuk anugerah itu akan diumumkan 26 Feb ini bersama nama-nama calon daripada enam lagi kategori.
Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah kepada acara itu pada 26 Mac ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment