Para pengunjung mengambil kesempatan sempena cuti Tahun Baru Cina mengunjungi muzium untuk melihat manik-manik yang dihasilkan di Muzium Negara. --foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: 'Manik Berlian' atau dikenali 'Lukut Kong Ba' dari Sarawak yang berusia lebih 2,000 tahun menjadi satu daripada tarikan Karnival Bersama Muzium 2014 yang sedang berlangsung di Muzium Negara.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Ibrahim Ismail berkata manik berwarna merah, putih, hitam, kuning dan hijau dengan sulaman manik kelabu itu dibawa dari Muzium Sarawak sempena 'Pameran Manik untuk Kecantikan'.
"Manik ini sangat tinggi nilainya dan saya difahamkan suatu ketika dahulu, manik ini mempunyai nilai harga sama seperti sebuah rumah panjang di Sarawak.
"Manik sangat berharga bagi masyarakat Orang Ulu di Sarawak dan mereka menjadikan manik sebagai medium untuk pertukaran barang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival itu hari ini.
Pameran lebih 200 koleksi manik yang bermula 15 Jan lepas dan berakhir 14 Feb itu bertujuan mengangkat khazanah unik dan seni kraf tangan yang cukup sinonim dalam budaya masyarakat peribumi di Kepulauan Borneo.
Pengunjung boleh menyaksikan pelbagai aktiviti menarik seperti demonstrasi membuat manik daripada seramik dan kaca, sesi penerangan penggunaan manik dalam kehidupan masyarakat serta membeli produk manik seperti gelang, rantai, beg dan kasut pada harga serendah RM15.
Ibrahim juga berkata produk manik dari Kepulauan Borneo berpotensi untuk diketengah kerana berkualiti tinggi serta mempunyai motif etnik yang mampu menarik perhatian umum.
"Produk manik yang dihasilkan merupakan khazanah seni budaya masyarakat yang tidak ternilai harganya.
"Melalui program ini, secara tidak langsung akan meneruskan kesinambungan khazanah budaya bangsa tersebut," katanya.
Dalam pada itu, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014, Ibrahim menyasarkan kehadiran kira-kira 600,000 pengunjung ke Muzium Negara dan 3.6 juta orang ke semua 21 muzium kelolaannya di seluruh negara pada tahun ini.
BERNAMA
No comments:
Post a Comment