KUALA LUMPUR: Kontroversi diskriminasi terhadap penyanyi, Marinatasha Isnariah Mustapar yang didakwa diarahkan turun dari pentas dari membuat persembahan dalam satu majlis makan malam kerana dia berhijab nampaknya masih lagi tiada menampakkan tanda noktahnya.
Penyanyi berusia 32 tahun itu tampil dengan jawapan balas secara bertulis terhadap alasan yang dikemukakan oleh syarikat pemaju hartanah, CASTMET Sdn Bhd berkenaan insiden yang berlangsung pada malam tersebut.
“Saya mengetengahkan isu ‘rasis’ dan diskriminasi perkauman yang ditimbulkan oleh Shannon Yong Pey Ling iaitu Pengarah Kewangan CASTMET yang tidak membenarkan saya menyanyi semata-mata kerana saya bertudung. Oleh hal demikian, tidak timbul, isu syarikat berkenaan tidak ‘rasis’ kepada pekerja-pekerjanya,”.
Marinatasha menambah selepas sidang media bersama Persatuan Karyawan yang beliau lakukan di Bukit Damansara , Pengarah Urusan Tan Keh Wah mengundang beliau ke pejabat CASTMET untuk bertanya kepada pekerja yang syarikat beliau tidak rasis.
“Soalnya bukan layanan dia kepada pekerjanya tetapi layanan pengarah kewangannya, Shannon Yong kepada saya yang menjadi persoalan dalam tindakan mereka terhadap diri saya,”.
Dalam jawapan balasnya itu, dakwanya alasan-alasan yang diberikan oleh syarikat berkenaan tidak benar sama sekali.
Alasan wujudnya kontrak persembahan
Marinatasha mendakwa sebagai contoh, alasan mengenai adanya wujud kontrak persembahan antara syarikat tersebut tidak benar tidak ada wujud sebarang kontrak persembahan.
“Dakwa CASTMET, saya bukanlah penyanyi yang dipersetujui dan tidak tertulis dalam kontrak asal antara syarikat itu dengan syarikat pengrusan acara. Namun, sebenarnya, tiada sebarang kontrak bertulis diadakan,” kata Marinatasha dalam kenyataan jawapan balasnya yang di-emelkan kepada Astro AWANI.
TIADA KONTRAK: Pemilihan 'band' Rufus ini dikatakan dipilih secara rundingan terus daripada CASTMET dengan kumpulan itu.
Pemilihan kumpulan muzik Rufus pula dikatakan dipilih kerana kumpulan ini sering membuat persembahan di sebuah cafe yang terletak berdekatan dengan pejabat CASTMET dan Mohd Solih Toha daripada syarikat pengurusan acara Red On Black telah mengesahkan bahawa persembahan ini adalah secara rundingan terus daripada CASTMET dengan kumpulan itu.
“Kontrak saya pula adalah sebagai penyanyi kumpulan Rufus untuk persembahan pada malam tersebut. Tiada sebarang perjanjian hitam putih sebagaimana yang didakwa, termasuk permintaan untuk penyanyi tidak bertudung atau artis Akademi Fantasia.
Malah dalam pertemuannya dengan Tan telah menunjukkan kepadanya satu salinan invois yang sekadar menunjukkan butiran band Rufus sahaja namun tiada nama individu lain yang diletakkan kecuali nama pengacara majlis Amber Wong.
“Saya adalah sebahagian daripada kumpulan Rufus kerana telah dipanggil untuk menjadi penyanyi utama kumpulan itu pada malam itu. Selain itu, jika benar dakwaan mereka bahawa sejak awal mereka telah meminta Zafarina Jamhari atau Farina dari Akademi Fantasia 8 untuk membuat persembahan pada malam itu mengapa nama Farina AF8 itu sendiri tiada dalam invois seperti mana nama Amber Wong?,” soal Marinatasha.
Dakwa beliau lagi, Farina telah memberitahunya bahawa dia baru dihubungi pada hari kejadian secara tiba-tiba beberapa jam sebelum acara bermula.
CASTMET juga dikatakan mendakwa Marinatasha adalah penyanyi pengganti untuk sesi latihan yang berlangsung pada 16 Januari di studio dan sesi raptai pada petang 18 Januari iaitu beberapa jam sebelum majlis itu berlangsung.
“Ingin saya tegaskan disini, adakah saya terlalu bodoh untuk menerima tempahan menyanyi untuk sesi latihan dan sesi raptai tetapi tidak untuk majlis sebenar?. Mengapa saya tidak diberitahu oleh mana-mana pihak termasuk CASTMET dan wakilnya sebelum insiden tersebut berlaku seandainya saya ini hanyalah sebagai penyanyi gantian sahaja,”.
Alasan adanya hidangan minuman beralkohol
Alasan Tan, bahawa keputusan membatalkan penampilannya kerana majlis menghidangkan minuman keras adalah sesuatu perkara yang baru kerana dalam laporan polis yang dibuat oleh Shannon Yong, tiada sebarang alasan minuman keras ini diberikan.
TETAMU: Menurut Marinatasha, lebih setengah daripada tetamu adalah orang Islam dan bukannya seperti didakwa CASTMET Sdn Bhd.
“Saya tidak perasaan kemunculan minuman keras kerana lebih setengah daripada tetamu adalah orang Islam. Malah Encik Tan menyatakan bahawa ianya untuk tujuan menjaga sensitiviti umat Islam. Etika pakaian saya adalah bersesuaian dengan majlis-majlis keraian. Jika mereka sensitif tentang keIslaman saya maka adakah mereka tidak tahu yang tetamu utama ialah Pengerusi CASTMET, Tan Sri Mohd Anuar Mohd Nor juga seorang Islam dan ramai tetamu lain yang berhijab dan berkopiah,” katanya lagi.
Alasan adanya tari-menari
Beliau menerangkan bahawa alasan perlu menari dan berinteraksi dengan tetamu itu bukanlah persoalannya.
“Pada majlis itu, Farina yang membuat persembahan pada malam itu dilihat tidak pun menari bersama tetamu sebagaimana yang didakwa menjadi permintaan CASTMET dalam kontrak persembahan,”.
Beliau melihat jawapan-jawapan CASTMET, sama ada melalui Shannon dan Tan adalah sesuatu isu yang baru dan sengaja ditimbulkan.
Marinatasha menambah sehingga ke hari ini jawapan versi CASTMET itu tidak pernah disahkan oleh Mohd Solih Toha daripada syarikat pengurusan acara Red On Black dan Nazri daripada band Rufus.
“Jika terdapat sebarang salah faham antara mereka sekalipun adalah tidak adil untuk saya dijadikan mangsa tindakan 'rasis' sebegini,”.
Astro Awani
No comments:
Post a Comment