Sunday, 1 December 2013

SPR akui dakwat kekal tidaklah sekekal mana dalam laporannya

SPR akui dakwat kekal tidaklah sekekal mana dalam laporannya

Dakwat kekal yang digunakan di dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU ke 13) didapati hilang apabila dicuci dan terdapat dakwat kekal yang terkena pada kertas undi.

Ini adalah antara kelemahan-kelemahan yang diterangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di dalam Laporan Post Mortem PRU ke 13.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata bukan sahaja itu, kelemahan yang dikenalpasti dalam penggunaan dakwat kekal itu ialah pelaksanaan tatacara dakwat kekal tidak dijelaskan dengan terperinci dan dakwat kekal didapati lambat kering menyebabkan terkena pada kertas undi.

“Kelemahan lain yang dikenal pasti termasuk dalam proses pengiraan undi. Contohnya ejen parti tidak faham istilah ‘undi ditolak’ dan ‘undi rosak’ dan terdapat dakwaan ketua tempat mengundi memutuskan undi ragu mengikut ejen-ejen parti.

“Semasa hari pencalonan pula, pegawai pengurus mengalami kesukaran dalam mengesan status bermastautin kerana kebanyakkan calon tidak tinggal di alamat berkenaan dan kesukaran mengesah status muflis daripada Jabatan Insolvensi.

“Semasa hari pengundian pula, terlalu banyak saluran dalam satu-satu pusat mengundi menyebabkan pengundi bercampur antara satu tempat mengundi dengan tempat mengundi yang lain dan kertas undi yang dilipat terbuka setelah dimasukkan ke dalam peti undi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Abdul Ghani berkata berdasarkan kelemahan-kelemahan tersebut, pelbagai penambahbaikan telah dicadangkan.

“Untuk dakwat kekal, SPR telah membuat penambahbaikan dalam kandungan bahan dakwat, kaedah penyimpanan, kaedah penandaan pada jari daripada dicalit kepada dicelup jari telunjuk kiri pengundi dan menyediakan panduan tatacara penggunaan kepada kerani pengundian.

“Untuk proses pengiraan undi, SPR, antara lain akan meneliti dan membuat penambahbaikan dalam aspek latihan dan Buku Panduan Memutus Undi Ragu bagi membantu Ketua Tempat Mengundi memutuskan undi ragu dengan lebih berkesan.

“Untuk hari pengundian, cadangan pembaikkan yang dikemukakan antara lain adalah cara melipat kertas undi yang betul akan dilaksanakan,” katanya.

Laporan post mortem itu adalah hasil mesyuarat yang diadakan oleh ahli tertinggi SPR di anatara 19 Jun 2013 sehingga 15 Julai 2013.


ASTRO Awani

No comments:

Post a Comment