Saturday, 9 November 2013

Laluan sesak teruk hampir sejam

Laluan sesak teruk hampir sejam
Suasana kesesakan teruk berlaku lebih 200 meter hampir setiap hari

Laluan sesak teruk hampir sejam
Longgokan batu dan tanah untuk menutup lopak hanya diletakkan di bahu jalan sahaja

HULU SELANGOR - Ketiadaan lorong khas untuk pengguna menghala ke Bukit Beruntung menyebabkan kesesakan lalu lintas sering berlaku di persimpangan lampu isyarat Kampung Koskan terutama ketika waktu puncak.

Masalah itu berlaku setiap hari dari arah Sungai Buaya menuju ke persimpangan sehingga mengakibatkan kesesakan lebih 200 meter dan kesesakan berlarutan antara 30 hingga 45 minit.

Ketiadaan lorong khas menyebabkan pengguna terpaksa menunggu lampu isyarat sebelum memasuki lorong ke kiri menghala ke Bukit Beruntung.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan pengguna yang mahu menghala ke Bukit Beruntung tidak ada pilihan lain dan terpaksa meredah bahu jalan yang rosak untuk melepasi kesesakan tersebut.

Bagaimanapun, tindakan segelintir pengguna termasuk kenderaan berat yang kerap memotong di bahu jalan menyebabkan jalan rosak dan berlopak-lopak sehingga memburukkan lagi keadaan.

Gesa ambil langkah proaktif

Aktivis masyarakat, Datuk Roslee Hashim berkata, masalah itu sudah berlarutan lebih lima tahun namun sehingga kini belum ada tindakan penyelesaian diambil pihak berwajib.

Menurutnya, langkah proaktif perlu diambil pihak berwajib bagi mengatasi masalah itu sebelum keadaan menjadi lebih teruk.

“Masalah ini sudah lama tapi tidak ada langkah penyelesaian diambil. Bayangkan jika persimpangan bertingkat Sungai Buaya sudah dibuka, sudah tentu kesesakan akan lebih teruk.

“Jadi, perlu ambil langkah proaktif atasi masalah ini dan selesaikan segera sebelum bertambah teruk,” katanya.

Beliau berkata, beberapa langkah penyelesaian boleh diambil pihak berwajib antaranya melebarkan jalan dan membina lorong tambahan terutama di laluan keluar menghala Bukit Beruntung.

Menurutnya, usaha itu perlu dilaksanakan segera sebelum persimpangan bertingkat beroperasi sepenuhnya.

“Ruang pada bahu jalan boleh digunakan untuk bina satu lagi lorong bagi kegunaan pengguna yang hendak keluar.

“Langkah itu saya lihat sesuai untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas tanpa menjejaskan peniaga di kawasan ini,” katanya.

Peniaga turap jalan

Sementara itu, peniaga kedai makan, Othman Mohamad Noor, 50, berkata, beberapa inisiatif dilakukan penduduk dan pengusaha industri berdekatan bagi menutup dan menurap bahu jalan yang berlubang.

Malah, Othman sendiri pernah beberapa kali meletakkan simen di depan kedainya untuk pelanggannya meletakkan kenderaan selain memberi kemudahan kepada pengguna lain, namun tidak dapat bertahan lama.

“Ada yang meletakkan simen konkrit dan batu untuk tutup lopak itu tapi sekejap saja sudah rosak.

“Sesetengah orang longgok saja sisa batu yang digunakan dalam pembinaan di situ tapi tidak diratakan jadi tidak guna juga,” katanya yang sudah lebih 10 tahun berniaga di situ.

Kenderaan rosak

Seorang pengawal keselamatan, Hashim Mat Noh, 60, berkata, masalah tersebut bukan saja menyebabkan kesesakan malah ramai pengguna yang mengeluh kerana kenderaan mereka mengalami kerosakan akibat terbenam dalam lopak.

“Seeloknya jalan ini dibaiki dan buat lorong baru untuk laluan kenderaan yang nak ke Bukit Beruntung. Jadi mereka tak perlu lagi menunggu lampu isyarat,” katanya.



Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment