Siti Nur Fatini Zulaika di hadapan kereta Mini Cooper yang dihadiahkan bapanya.
KOTA BHARU - "Saya tak sangka ayah akan tunaikan hajat untuk menghadiahkan kereta Mini Cooper kepada saya,” kata pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Siti Nur Fatini Zulaika Zukila, 12.
Anak pembekal ayam di Kota Bharu itu yang juga murid Sekolah Kebangsaan Zainab 1, memperoleh keputusan 5A dalam semua lima mata pelajaran yang diduduki dalam peperiksaan UPSR, diumumkan semalam.
Menurutnya, hadiah itu anugerah istimewa baginya kerana sebelum ini dia pernah menyatakan minatnya terhadap kereta tersebut yang kelihatan comel dan menarik kepada bapanya, Zukila Deraman, 36, dan ibunya, Nor Aishah Mahmud, 31.
“Ayah beritahu saya, jika saya dapat keputusan cemerlang dalam UPSR, dia janji untuk hadiahkan kereta tersebut.
“Memang pada mulanya seperti tidak percaya dan tidak sangka impian untuk memiliki kereta idaman tercapai selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Taman Tanjung Chat, di sini, hari ini.
Anak sulung daripada empat beradik ini bercita-cita menjadi juruterbang dan berhasrat melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
“Insya-Allah, mungkin enam tahun lagi apabila saya dapat lesen memandu, saya akan pandu sendiri kereta kesayangan saya ini.
“Ayah dan ibu banyak bagi semangat untuk saya belajar. Mungkin hadiah ini agak pelik bagi saya yang baru berusia 12 tahun tapi inilah pendorong semangat untuk saya berjaya dan berharap akan terus capai keputusan cemerlang di peringkat menengah nanti,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment