Seorang anak lelaki suspek memberitahu tidak ada gambar mangsa kerana "semuanya telah dibawa ke balai".
LANGKAWI: Seorang gadis mualaf Nur Salina binti Abdullah, 18 tahun berketurunan Cina dari Kampung Belanga Pecah, Langkawi yang dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Besar Langkawi tiga hari lepas kerana disyaki didera oleh keluarga angkatnya dilaporkan meninggal dunia jam 8.40 malam tadi.
Kematian gadis malang itu disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Kedah, ACP Mohd Nashir Ya.
Pihak media yang cuba untuk mendapatkan visual Allahyarham sejak petang bagaimanapun tidak dibenarkan oleh pihak hospital merakam visual walau pun hanya berada di kawasan kecemasan.
Kesukaran untuk mendapatkan visual menyebabkan kru media kemudiannya beralih ke tempat tinggal mangsa kira-kira 10 kilometer dari hospital yang juga merupakan sebuah kedai makan.
Kedai makan terbabit diusahakan oleh keluarga tersebut di Kampung Belanga Pecah, Kisap, Langkawi.
Petang tadi, menurut jiran yang enggan namanya disiarkan memberitahu ayah dan ibu angkat mangsa berketurunan India Islam yang merupakan suspek utama telah pun ditahan reman pihak polis dua hari lalu.
Difahamkan mangsa telah dijaga oleh keluarga angkatnya sejak berumur empat tahun namun hanya memeluk Islam sejak setahun lepas.
Suspek, bapa angkat dikatakan seorang yang garang dan turut juga mempunyai tiga anak sendiri iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.
Keluarga tersebut berasal dari Pulau Pinang dan telah berhijrah ke Langkawi setahun lepas serta menjalankan perniagaan di sini.
Semasa berada di premis tersebut kelihatan seorang anak lelaki suspek namun setelah ditanya, beliau tidak mahu memberi maklumat lanjut hanya memberitahu tidak ada gambar Nur Salina kerana “semuanya telah dibawa ke balai”.
Menurut jiran tersebut, mangsa seorang yang baik dan pendiam namun sejak empat hari lepas kelihatan tidak sihat dengan keadaan kaki yang bengkak semasa sedang menyidai baju di bahagian belakang premis kedai makan terbabit.
ASTRO Awani
No comments:
Post a Comment