Monday, 4 November 2013

Filem Mandela ditayangkan di Afrika Selatan

Filem Mandela ditayangkan di Afrika Selatan


JOHANNESBURG:  Filem yang mengangkat kisah hidup pejuang anti-aparteid Nelson Mandela ditayangkan di Afrika Selatan sekaligus membuka semula ingatan tentang sejarah negara itu yang bergolak.

Filem berjudul "Mandela, Long Walk to Freedom" yang diangkat daripada biografi dengan tajuk yang sama menelusuri kehidupan tokoh itu sejak zaman kecilnya di kampung di Eastern Cape sehinggalah membawa kepada pemilihan beliau sebagai presiden kulit hitam yang pertama pada 1994.

Mandela, 95 tahun, terlalu uzur untuk menghadiri tayangan perdana itu. Beliau sedang menjalani rawatan di rumah selepas tiga bulan dimasukkan ke hospital kerana jangkitan paru-paru awal tahun ini.

Bekas isterinya, Winnie Madikizela-Mandela dalam satu ucapan sebelum tayangan berkata beliau "kehilangan kata-kata" untuk menggambarkan tentang filem itu yang "menterjemahkan masa lalu yang pahit."

"Kita mesti ingat dari mana kita datang dan betapa sukarnya kebebasan ini diperjuangkan serta harga yang dibayar untuknya," kata Madikizela-Mandela, yang memakai pakaian tradisional Xhosa.

Selepas 27 tahun dipenjara kerana terlibat dalam aktiviti menentang rejim perkauman, Mandela memperjuangkan kesamarataan dalam negara yang berpecah belah dan memaafkan musuhnya. Tindakannya yang besar hati itu dikagumi di serata dunia dan menempa namanya sebagai simbol keamanan.

Filem yang memakan masa dua jam setengah itu akan mula ditayangkan di pawagam di seluruh Afrika Selatan pada 28 November ini.

Mandela dilakonkan oleh pelakon Britain, Idris Elba manakala watak Winnie dimainkan oleh Naomie Harris juga dari Britain. 

Sumber: Agensi

No comments:

Post a Comment