KUALA LUMPUR: Kemewahan hidup 10 anggota "Geng Topeng" yang dikatakan aktif menyamun dan terbabit dalam insiden pecah rumah di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun ini akhirnya terbongkar selepas polis bertindak menyerbu sebuah rumah yang disewa mereka di Jalan 16/105 Taman Midah, Cheras semalam.
Difahamkan kumpulan terbabit yang bersenjatakan parang, terlibat dengan lebih 45 kes samun yang menjadikan kawasan perumahan sebagai sasaran menyamun.
Dalam kejadian terbaru yang dipercayai didalangi kumpulan itu, seorang wanita cedera ditetak selepas disamun dalam satu insiden pecah rumah di Semenyih tengahari semalam.
Polis yang mendapat maklumat kemudiannya menubuhkan pasukan khas dari Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan mengesan suspek sebelum menemui tempat persembunyian mereka di kediaman terbabit kira-kira jam 4.30 petang.
Susulan itu pihak polis bertindak mengepung kawasan terbabit sebelum menyerbu kediaman itu.
Rumah yang disewa dengan harga RM1800 sebulan itu dikatakan dijadikan setor penyimpanan barangan hasil curi.
Malah suspek yang terkejut dengan kehadiran polis turut cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung rumah namun gagal dan berjaya diberkas.
Kesemua suspek berusia 25 hingga 40 tahun itu juga dipercayai positif dadah jenis syabu.
Sumber berkata, dalam serbuan itu polis merampas enam buah kereta bersama beberapa barangan samun yang masih belum dijual.
Antara kenderaan yang dirampas termasuk Toyota Alphard, Honda Accord, Saga BLM, MyVi dan Nissan Sentra.
Astro Awani
No comments:
Post a Comment