Monday, 7 October 2013

Pengantin tunjuk skil 'roti canai terbang'

Pengantin tunjuk skil 'roti canai terbang'
Muhammad Fauzi menunjukkan kemahiran membuat roti canai terbang di hadapan isteri dan tetamunya, semalam.


AYER MOLEK - Majlis perkahwinan seorang penebar roti canai di Bukit Lintang, dekat sini, menarik perhatian tetamu apabila diserikan dengan aksi menebar roti canai  'terbang' daripada pengantin itu sendiri.

Aksi dilakukan Muhammad Fauzi Mohd Nor, 31, yang buat pertama kali disaksikan isterinya, Hafizah Hanis Mohd Mokhtar, 25, walaupun sudah berkenalan hampir setahun sebelum diijabkabulkan, kelmarin.

Muhammad Fauzi berkata, dia melakukan perkara itu sekadar hiburan untuk tetamu yang hadir pada majlisnya, selain menjadi hadiah kepada isterinya untuk menyaksikan sendiri kemahirannya melakukan pelbagai skil sebagai penebar roti canai terbang profesional yang berpengalaman lebih 15 tahun.

Anak ketiga daripada tujuh adik beradik itu menebar tiga keping roti canai dengan melakukan tebaran, kombinasi melambung dan terbang, pusaran serta memusingkan tebaran menggunakan dua tangan dalam masa hampir 10 minit.

Mengenang detik perkenalan mereka, Muhammad Fauzi berkata, dia menjalin hubungan dengan isterinya yang berasal dari Jembatan Duyong, di sini selepas diperkenalkan rakannya.

Dia kini bertugas di sebuah restoran makanan Timur di Sydney, Australia dan bakal bekerja di tempat baru iaitu di Melbourne selepas cuti kahwinnya tamat.

“Insya-ALLAH, selepas ini saya akan membawa  isteri saya berhijrah ke sana (Australia) kerana saya mempunyai kerjaya di sana,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Muhamad Fauzi berkata, sepanjang melakukan kerja sebagai penebar roti canai berkemahiran, dia  melakukan pelbagai aksi dan  sudah beberapa kali menjuarai pertandingan peringkat kebangsaan.


Sumber: Sinar Harian, 7 Oktober, 2013

No comments:

Post a Comment