Sunday, 13 October 2013

Khairy, Shahrizat dan Mas Ermieyati sah ketuai tiga sayap UMNO

Khairy, Shahrizat dan Mas Ermieyati sah ketuai tiga sayap UMNO

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2013 mengesahkan kemenangan Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk terus menerajui sayap Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO bagi penggal yang kedua.

Jawatankuasa itu juga mengesahkan Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang baru.

Pengerusi jawatankuasa, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali dalam satu sidang media awal pagi ini mengumumkan kemenangan mereka selepas masing-masing mendapat majoriti mudah undi daripada 96 bahagian.

Sehingga pukul 3.35 pagi, Khairy disahkan menang di 97 bahagian manakala Shahrizat menang di 100 bahagian dan Mas Ermieyati menang di 96 bahagian.

Sementara itu,Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abd Rauf Yusoh berkata, sehingga awal pagi ini, masih ada lebih kurang 50 bahagian yang masih belum selesai mengira undi.

"Ini adalah keputusan yang ada pada kita setakat ini. Keputusan rasmi bagi jawatan-jawatan lain akan dimaklumkan oleh ibu pejabat UMNO hari ini (Ahad)," katanya.

Pemilihan UMNO pada kali ini buat pertama kalinya melibatkan ahli di peringkat akar umbi di bahagian masing-masing di seluruh negara dan bukan lagi perwakilan yang hadir ke Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur.

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan proses pemilihan yang melibatkan ahli di peringkat akar umbi itu sebagai bukti UMNO sebuah parti yang menunjangi demokrasi.

Ia juga membuktikan keputusan meminda perlembagaan parti itu pada 2009 adalah tepat dan diterima oleh ahli.

Beliau menarik perhatian walaupun ada sedikit masalah semasa pemilihan di beberapa tempat tetapi secara umumnya UMNO telah melalui ujian pemilihan kali ini dengan begitu cemerlang sekali.

"Saya atas nama parti dan Majlis Tertinggi ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerja keras di belakang tabir yang selama ini tidak diketahui," katanya.

Pemilihan tiga sayap parti itu melibatkan 33,012 calon bertanding, 247,000 kertas undi dikeluarkan di 572 pusat mengundi serta 20,000 sukarelawan pemilihan.

Dalam pada itu, Khairy pula menyifatkan pemilihan kali ini sebagai satupertembungan antara pemikiran progresif dan liberal dengan pemikiran yang ke belakang dan konservatif, dan akar umbi UMNO telah membuat pilihan.

Katanya, ia adalah satu pengiktirafan kepada pemikiran progresif dan liberal yang beliau bawa selama empat tahun lalu sejak jadi Ketua Pemuda UMNO.

Sementara itu, bagi Shahrizat, kemenangan beliau merupakan satu kemenangan bagi agenda transformasi kepimpinan yang diketuai oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dan merupakan kemenangan bagi akar umbi Wanita UMNO.

"Ini adalah suara akar umbi yang telah mengesahkan kemenangan mereka yang menang hari ini," katanya.

- ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment