Monday, 28 October 2013

JPN akan periksa kad pengenalan semua pengawal keselamatan

JPN akan periksa kad pengenalan semua pengawal keselamatan

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memeriksa kad pengenalan semua pengawal keselamatan di negara ini bagi mengesahkan identiti mereka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat dan pelaksanaannya tidak melibatkan tempoh masa.

"Pemeriksaan yang melibatkan lebih daripada 600 syarikat kawalan keselamatan ini akan membabitkan pengawal bersenjata dan tidak bersenjata," katanya kepada media selepas menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Othman Hassan, di pejabatnya di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata pihak juga akan meneliti cadangan agar syarikat kawalan keselamatan diklasifikasi mengikut kategori.

Pada masa sama, beliau turut mendedahkan pihaknya menerima maklumat ada pihak menggunakan lesen syarikat kawalan keselamatan dan permit senjata api untuk tujuan lain.

"Kami telah mendapat maklumat mengenai perkara ini dan tunggu tindakan yang akan diambil oleh pihak kementerian dalam masa terdekat," katanya.

Langkah yang diambil pihak berkuasa ini susulan kejadian seorang pengawal keselamatan yang memperoleh pekerjaan itu menggunakan kad pengenalan palsu menembak mati seorang pegawai bank ketika merompak bank berkenaan.

Dalam kejadian Rabu lepas, pegawai operasi Ambank cawangan Subang Jaya, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak pengawal keselamatan terbabit ketika membuka peti besi di bilik kebal bank itu di Jalan USJ 2, Subang Jaya.

Rentetan itu, Kementerian Dalam Negeri membatalkan lesen syarikat kawalan keselamatan terbabit kerana gagal mematuhi syarat Akta Agensi Persendirian 1971, sementara siasatan polis mendapati suspek yang dikenali sebagai Ardi Hamza itu menggunakan kad pengenalan palsu serta dipercayai berasal dari Sulawesi, Indonesia.


- ASTRO Awani

No comments:

Post a Comment