Tuesday, 29 October 2013

Baju koyak rabak, rambut kusut bukan imej sebenar mendiang Lee

Mendiang Lee Kah Ghee yang ditikam sampai mati oleh seorang lelaki yang mengamuk berhampiran stesen LRT Putra Gombak dan Taman Melati merupakan seorang yang memberi keutamaan kepada keterampilannya.


Menurut kakak iparnya Susan Seh, Lee suka mengenakan pakaian yang kemas dan sentiasa menyikat rambutnya dengan rapi.

Namun semasa Lee ditemui sejurus ditikam di dada oleh lelaki itu, pakaian kemasnya koyak rabak, rambutnya kusut dan badannya berlumuran darah.

“Itu yang membuatkan isterinya dan kami sekeluarga sedih. Kami selalu melihat Lee yang ‘handsome’ dan kacak. Tetapi apabila beliau meninggal, rupanya tidak seperti dahulu lagi.

“Tiada siapa sanggup melihat tubuh Lee yang telah ditikam dengan kejam itu. Ia sungguh memilukan hati,” kata Susan kepada Astro AWANI ketika ditemui di upacara pengkebumiannya Lee di sini, pada Ahad. Susan juga berkata, Lee merupakan seorang yang sentiasa ceria dan disukai ramai.

“Beliau terlibat dalam perniagaan alat-alat tulis dan selepas beberapa tahun baru sahaja perniagaannya mula berjaya. Tiba-tiba, beliau meninggal dunia pula. Kami memang tidak menjangka perkara ini akan berlaku,” katanya.

lee

Lee meninggalkan seorang balu berusia 47 tahun dan tiga orang anak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan yang melawat keluarga Lee berkata suspek didapati positif dadah dalam saringan ujian air kencing.

“Suspek akan direman sehingga 31 Oktober dan sekiranya perlu, reman akan dilanjutkan,” katanya.

Lee ditikam oleh seorang pemandu van syarikat pembekal rokok yang mengamuk berhampiran stesen LRT Putra Gombak dan Taman Melati Rabu lalu.

Lelaki yang bersenjatakan pisau itu, turut membunuh seorang lagi mangsa dan mencederakan dua lagi.

Kejadian bermula pada kira-kira pukul 11.20 pagi apabila lelaki terbabit  tiba-tiba mengamuk ketika menghantar rokok ke sebuah kedai berhampiran stesen LRT Gombak.

Lelaki itu bertindak menikam pemilik kedai berkenaan yang berusia 60 tahun dan pembantunya seorang warga Indonesia berusia 40 tahun, menyebabkan kedua-dua mereka cedera parah.

Suspek kemudian meninggalkan tempat itu dengan vannya dan menuju ke Stesen LRT Taman Melati, kira-kira tiga kilometer dari situ, sebelum dia melanggar sebuah van lain dan menikam pemandunya Lee, 40, dari Taman Segambut Indah, beberapa kali di bahagian dada.

Lee meninggal dunia di tempat kejadian.

Suspek, yang disyaki mengalami masalah mental, kemudian terus mengamuk dengan menikam hingga mati seorang pelajar lelaki berusia 25 tahun, yang cuba melarikan diri selepas keretanya dilanggar van yang dipandu lelaki berkenaan.

Menyedari lelaki itu bersenjatakan pisau, pelajar berkenaan segera keluar dari keretanya untuk melarikan diri, tetapi suspek menghalangnya dan menikamnya beberapa kali di Jalan Tumbuhan, hingga mati.

Orang ramai bagaimanapun dapat memberkas lelaki terbabit, yang berasal dari Felda Pemanis, Segamat, Johor, serta merampas sebilah pisau daripadanya sebelum menghubungi polis.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: ASTRO Awani

No comments:

Post a Comment