Seorang tahanan lelaki ditemui mati dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak semalam.
Hassan Salip, 46, ditemui tidak sedarkan diri pada pukul 3.45 petang oleh anggota polis yang ditugas membawa tahanan itu ke Penjara Tapah selepas dia didapati bersalah oleh mahkamah kerana tidak mempunyai pengenalan diri dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A Paramasivam berkata melihat keadaan tahanan itu, pihak Hospital Teluk Intan (HTI) telah dihubungi dan hasil pemeriksaan doktor yang merawatnya di lokap mendapati tahanan itu telah meninggal dunia.
"Tahanan itu adalah seorang daripada 11 suspek yang ditahan di Hutan Melintang, Bagan Datoh kerana disyaki penagih dadah dan tidak memiliki kad pengenalan diri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini, hari ini.
Beliau berkata lelaki yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor itu ditahan di lokap polis sejak 3 Sept lepas.
Kematian itu diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat lelaki terbabit dibawa ke HTI untuk bedah siasat, katanya.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment