Monday, 2 September 2013

Permintaan pengawal peribadi wanita semakin meningkat

Permintaan pengawal peribadi wanita semakin meningkat

Meskipun kerjaya sebagai pengawal peribadi sering dikaitkan dengan golongan lelaki, namun permintaan untuk mendapatkan perkhidmatan pengawal peribadi wanita kian meningkat.

Atas kesedaran itu,  Black Hawk Resources menggalakkan belia wanita  menceburkan diri dalam kerjaya itu.

Pengurusnya P.Ravi berkata syarikat itu, yang selama ini hanya menyediakan latihan kepada golongan lelaki, menyasarkan untuk melatih golongan itu berikutan permintaan yang semakin bertambah daripada orang kenamaan wanita.

"Sejak ditubuhkan pada 2006, syarikat ini yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan  mempunyai  kira-kira 1,000 anggota dan hanya melatih golongan belia lelaki berumur antara 21 hingga 45 tahun.

"Namun, kami kini menyasarkan belia wanita yang berminat menjadikan pengawal peribadi sebagai kerjaya profesional," katanya dalam sidang media pada hari terakhir Program Belia Bebas Jenayah: Kursus Pengawal Peribadi di sini, hari ini.

Mengenai kursus tiga hari itu, Ravi berkata pihaknya menyediakan latihan asas kepada 22 belia lelaki yang berminat menjadi pengawal atau pemandu peribadi.

Ravi berkata pihaknya menumpukan terutamanya kepada belia yang berpendidikan rendah, menganggur serta tidak mempunyai kerjaya tetap untuk pekerjaan itu.

"Syarikat kami tidak melihat kepada kelayakan akademik dan kami beri peluang kepada golongan belia dengan menyediakan kursus secara berperingkat sebagai persiapan menjadi seorang pengawal atau pemandu peribadi.

"Daripada kita biarkan golongan itu terjebak dalam jenayah adalah lebih baik kita latih mereka untuk menjadi orang yang berguna," katanya.

Ravi berkata setiap peserta perlu menjalani tiga peringkat kursus iaitu asas, pertengahan serta lanjutan yang merangkumi ujian mental dan fizikal.

Selain itu, mereka dilatih mengendalikan senjata pada peringkat lanjutan dan mereka yang berjaya melepasi kesemua latihan akan diberikan sijil kursus serta kad pengawal peribadi. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment