ADA beberapa kesilapan besar apabila sesetengah daripada kita bercakap tentang sejarah negara ini — kononnya Sabah dan Sarawak masuk Malaysia atau menyertai Malaysia. Salah! Berhentilah daripada bercakap macam itu. Sabah dan Sarawak bukan masuk Malaysia; dua wilayah itu membentuk Malaysia bersama-sama Malaya dan Singapura setengah abad yang lalu.
Adalah tidak betul juga apabila sesetengah daripada kita tanpa rasa bersalah berkata "di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak." Yang ini pun hentikanlah juga; sudah-sudahlah memalukan diri sendiri apabila bercakap macam itu. Kalau kita kata "seluruh Malaysia" kenapa ada "termasuk Sabah dan Sarawak"? Apakah ada sebuah "Malaysia" tanpa Sabah dan Sarawak?
Ungkapan yang salah itu sudah selalu kita dengar. Ungkapan itu satu kesalahan fakta yang kalau diulang-ulang boleh jadi satu kejahatan. Jahatnya halus kerana ia tanpa sedar akan menyebabkan kita lupa. Penyakit lupa itu boleh jadi mudarat kepada negara, kepada bangsa, kepada masa depan anak cucu kita.
Ada juga yang berkata atau percaya bahawa Sabah dan Sarawak merdeka melalui pembentukan Malaysia. Mereka ini barangkali tidak tahu atau terlupa bahawa Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963 — tarikh sama dengan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya. Sarawak pula merdeka 10 hari sebelum itu iaitu pada 22 Julai. Sarawak buat pertama kalinya tahun ini menyambut hari bersejarah itu dalam satu upacara rasmi.
Tarikh 16 September 1963 yang kita sambut perayaan jubli emasnya hari ini bukan hari kemerdekaan Sabah dan Sarawak. Hari ini adalah hari lahirnya sebuah negara baru yang kini kita banggakan atau sedang sedaya upaya kita usahakan untuk jadi sebuah negara yang akan kita banggakan lebih lagi — bernama Malaysia.
Wartawan Arfa Yunus dan Teoh El Sen yang kami kirimkan masing-masing ke Sabah dan Sarawak untuk menyumbang kepada siri laporanMalaysia 50 Tahun memberitahu ada banyak orang yang tidak sedar tentang bab penting sejarah negara. Ini bukan masalah orang muda saja; orang yang tidak berapa muda pun sama.
Apakah masalahnya kalau kita lupa kepada sejarah 50 tahun lalu itu? Melupakan sejarah akan menyebabkan kita tidak tahu asal-usul. Kita tidak akan tahu dari mana kita datang dan ke mana kita mahu berangkat — sebagai satu bangsa, sebagai sebuah negara. Kita akan hilang peta dan kompas. Kita akan sesat.
Apakah kita mahu jadi seperti generasi muda Singapura yang tidak tahu bahawa republik itu pernah jadi sebahagian daripada negara ini? Sesetengah generasi muda kita pun mungkin serupa. Apakah yang akan jadi dan bagaimanakah Malaysia dan Singapura sekiranya sejarah itu difahami atau tidak lagi diketahui?
Sabah dan Sarawak hari ini dikenali sebagai antara 13 negeri dalam Malaysia. Malaya pula hanya tinggal jadi nama yang diberikan kepada spesis harimau dan generasi hari ini mungkin hanya tahu Malaya itu nama pasukan bola sepak kebangsaan. Malaya secara rasminya sudah jadi Semenanjung Malaysia.
Tetapi orang di Sabah dan Sarawak rata-ratanya merujuk kepada mereka yang datang dari Semenanjung sebagai "orang Malaya". Bagaimana mungkin mereka itu "orang Malaya" kalau Malaya itu tidak ada? Bagaimanakah "Malaya" masih boleh wujud dalam khayalan orang di Sabah dan Sarawak tetapi tidak di kalangan orang di Semenanjung?
Persoalan-persoalan — serta kekeliruan dan kesilapan — yang berhubung kait dengan sejarah ini kepada sesetengah orang adalah hal remeh yang tidak perlu disebut. Sikap seperti inilah yang saya maksudkan sebagai kejahatan halus yang akan menjadikan kita lupa dan seterusnya mendatangkan mudarat.
Misalkan saja begini: Apakah yang akan dirasai oleh Ahmad yang tinggal berjiran dengan kita selama bertahun-tahun kalau pada suatu hari kita menyapanya dengan nama lain, bukan dengan nama Ahmad? Kita bukan sekali itu tersilap memanggilnya bukan dengan nama Ahmad tetapi kita percaya bahawa namanya bukan Ahmad.
Beberapa hari lepas saya menghadiri sebuah forum melibatkan empat anak muda yang berbincang mengenai identiti negara ini. Ada sesuatu yang cukup mengganggu saya apabila seorang daripada mereka bertanya: "Apakah negara ini hanya ada orang Melayu, Cina dan India sementara kami ini "dan lain-lain"? Anak muda yang bertanya itu daripada etnik Kadazan Dusun.
Suara hati anak muda itu mewakili cetusan rasa orang yang terpinggir dan dilupakan. Kita boleh beretorik mengatakan bahawa mereka tidak dipinggirkan tetapi apa yang kita buat dan apa yang kita tidak buat yang mungkin secara tidak sengaja boleh mengguris hati sehingga menyebabkan rasa terpinggir itu ada? Rasa itu terbentuk apabila misalnya kita mengulang-ulang ungkapan "seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak" serta merujuk kumpulan etnik sebagai "dan lain-lain".
Inilah antara masalah besar yang sedang kita wariskan kepada generasi akan datang. Ini masalah zaman ini iaitu kegagalan memahami beberapa asas yang membentuk negara ini, kegagalan memahami asal-usul, kegagalan memahami identiti dan seterusnya kegagalan memahami hak dan tanggungjawab.
Masalah ini bukan hanya dalam soal Sabah dan Sarawak atau pembentukan Malaysia. Tentang sejarah perjuangan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pun banyak di antara kita yang masih keliru — atau sengaja dibiarkan keliru. Ada sejarah yang diketengahkan; ada pula bahagian yang dipadamkan. Ada tokoh yang diangkat; ada tokoh yang dipinggirkan.
Sebarang usaha untuk mencungkil bab yang terpadam atau mengangkat tokoh yang terpinggir dalam sejarah selalu dicurigai. Sebarang usaha untuk meluruskan sejarah yang bengkok atau melengkapkan selalu dikecam.
Persoalannya: kenapa kita terlalu takut dengan sejarah dan takut juga untuk memahami sejarah?
Tulisan: Noor Azam Shairi, September 16, 2013 untuk ASTRO Awani
No comments:
Post a Comment