Saturday, 14 September 2013

Apa puncanya Bumiputera tidak bersaing?

Apa puncanya Bumiputera tidak bersaing? -- Nur Muhammad Tajrid

Saya agak pelik apabila dasar ekonomi untuk Bumiputera telah disalahkan kerana itu ini, begitu begini tanpa mereka sedar yang dasar itu dibuat adalah untuk memastikan bumiputera itu sendiri berdaya saing.

Orang Melayu dan Bumiputera yang mengkritik dasar itu sepatut bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang membuat dasar kerana tujuan dasar itu dibuat adalah semata-mata mahu membantu bumiputera itu sendiri. Malangnya, apabila bumiputera tidak berdaya saing maka bumiputera itu sendiri akan menyalahkan dasar dan lain-lain tanpa melihat sikap mereka sendiri.

Persoalannya: Jika mahu berdaya saing apakah yang perlu dilakukan oleh bumiputera itu sendiri?

Soalan lain, jika dasar yang dibuat itu bagus mengikut kehendak semasa apakah jaminan boleh diberikan yang mana bumiputera itu memang berdaya saing manakala pegangan ekuiti bumiputera itu akan dapat dicapai dengan mudah?

Kita semua sedia maklum akan permasalahan dalam perniagaan yang mana bumiputera itu sendiri suka mengambil pendekatan yang mudah apabila mereka menjadi ali baba untuk mendapatkan keuntungan cepat tanpa berfikir panjang.

Mereka juga sudah dimanjakan dengan pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang mereka perolehi tanpa mengambil sedikit pun pendekatan untuk memastikan mereka lebih maju dan lebih berdaya saing dengan kenikmatan tersebut. Apa yang mereka tahu ialah mereka patut dapat apa yang patut mereka dapat kerana mereka adalah warga pribumi jadi apa pun yang terjadi mereka sedikit pun tidak akan rasa terjejas.

Apakah perkara yang saya nyatakan sebentar tadi ada yang masih hendak menafikan?

Dalam sektor pendidikan juga begitu, bumiputera tidak ada sikap untuk menguji diri mencuba bidang yang lebih mencabar. Apa yang mereka akan lakukan adalah mengambil jurusan yang mudah, yang tidak memeningkan kepala dan jurusan yang kebanyakan orang lain ambil. Jadi bagaimana pelajar bumiputera akan keluar sebagai graduan yang berkualiti? Mereka sendiri tidak dapat untuk menyahut cabaran kerana mereka lebih pentingkan apa yang mereka suka dan mana yang menyenangkan mereka.

Oleh itu, siapa yang perlu dipersalahkan dan di mana kesalahan ini hendak kita letakkan? Adakah dasar atau jurusan yang ditawarkan? Ataupun sikap bumiputera itu sendiri? Jika kita mahukan kualiti, maka diri kita perlu lebih berkualiti untuk pastikan ia berkualiti. Sama juga dengan daya saing. Jika kita mahu berdaya saing maka diri kita perlu ada daya saing yang tinggi tanpa berkompromi.

Mengapa orang lain boleh dan kita tidak boleh? Jika kita tidak boleh, apa sebab kita tidak boleh?

Kita jangan lupa akan peribahasa 'hendak seribu daya, tak nak seribu dalih'.

Oleh itu, lakukan perubahan sikap kita bagi memastikan kesemua matlamat dapat dicapai dan buang sikap negatif yang mana akan merosakkan imej bumiputera itu sendiri.


Oleh: Nur Muhammad Tajrid, melalui Astro Awani 

No comments:

Post a Comment