Wednesday, 28 August 2013

Jerebu di Pulau Pinang bertambah buruk

Jerebu di Pulau Pinang bertambah buruk

Keadaan berjerebu yang dikesan di beberapa kawasan di Pulau Pinang sejak semalam bertambah teruk hari ini dengan kualiti udara menghampiri tahap tidak sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh berkata bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Perai ialah 80, Seberang Jaya (92) dan Universiti Sains Malaysia (88) setakat 9 pagi ini berbanding 58 hingga 63, petang semalam.

"Kerajaan negeri telah menyediakan bekalan topeng muka untuk diedarkan secara percuma kepada pelajar sekolah di setiap pusat khidmat DUN (Dewan Undangan Negeri) di negeri ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Phee turut menyarankan orang ramai agar mengurangkan aktiviti rekreasi di luar rumah dan sentiasa peka dengan perubahan cuaca sebagai persediaan menghadapi situasi luar jangka.

Beliau menyifatkan peningkatan tahap jerebu itu berlaku secara mendadak dan menasihati orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami masalah sakit tekak, batuk atau sesak nafas selain memperbanyak minum air kosong.

Bacaan IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 30 (berbahaya).

- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment