Sunday, 11 August 2013

Fear Factor Malaysia: Uji Keberanian Anda Dengan Selebriti!
















KUALA LUMPUR, 5 OGOS 2013: Ketakutan atau fobia merupakan biasa bagi kita yang bergelar manusia. Namun beranikah anda untuk berhadapan dengan ketakutan dan fobia anda? Dan jika anda berani, andalah orang yang kami cari untuk meneruskan kesinambungan rancangan realiti Fear Factor Selebriti Malaysia di saluran Astro Ria (104).

Astro Ria sekali lagi akan membawakan program Fear Factor Malaysia yang dibuka untuk umum dengan memulakan saringan uji bakat secara online sejak 22 Julai lalu sehingga 18 Ogos 2013.

Program realiti yang mengambil format dari program popular antarabangsa sekali lagi kembali kali ini dengan satu pembaharuan di mana kesemua peserta yang terpilih bakal bergandingan dengan 16 selebriti tanah air yang mana setiap kumpulan pasangan bakal berdepan dengan pelbagai ujian yang pastinya menguji tahap ketahanan serta keberanian masing-masing.

Antara 16 selebriti yang bakal beraksi dalam Fear Factor Malaysia adalah Yana Shamsudin, Shuib Sepah, Dira Abu Zahar, Izzue Islam, Erin Malek, Norman Hakim, Thanuja, Zain Saidin, Sari Yanti, Azura Zainal, Bambang Soteto, Nas T, Ungku Ismail, Shah Iskandar, Syed Ali, dan Rizal Jaafar.

Seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin maju, pihak Astro akan membuka saringan pertama menerusi sesi ujibakat secara Online yang mana orang ramai boleh menghantar video penyertaan ke laman sesawang rasmi untuk penilaian pihak Astro sendiri.

Penyertaan adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia ataupun mereka yang mempunyai status penduduk tetap yang berumur 18 tahun ke atas dan boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan fasih.

Selain mempunyai perwatakan yang menarik, dan fasih berbahasa Melayu. Calon peserta juga mestilah berada dalam keadaan kesihatan fizikal dan mental yang baik.

Bermula pada 22 Julai hingga 18 Ogos 2013, calon peserta dikehendaki untuk menghantarkan rakaman video penyertaan yang tidak melebihi tempoh masa dua minit atau melebihi saiz 30MB ke laman sesawang rasmi di www.fearfactor.com.my Wajah calon peserta dan audio rakaman untuk setiap video penyertaan yang dihantar haruslah jelas. Calon peserta juga digalakkan untuk menyerlahkan personaliti sebenar mereka dengan cara paling menarik.

Kandungan video tersebut juga haruslah menjawab soalan-soalan seperti berikut:

1. Nyatakan nama penuh dan umur pada permulaan video penyertaan.
2. Mengapa anda mahu menyertai Fear Factor?
3. Namakan tiga peserta selebriti kegemaran anda dan nyatakan mengapa anda ingin berpasangan dengan mereka?
4. Apa yang akan anda lakukan dengan wang jika anda menang?

Jadi jangan lepaskan peluang untuk menjadi antara salah seorang peserta Fear Factor Malaysia dengan menghantar video sesi ujibakat sekaligus berpeluang melayakkan diri ke peringkat yang seterusnya.

Program Fear Factor Malaysia bakal bersiaran di saluran rasmi Astro Ria (saluran 104) tidak lama lagi. Sebarang butiran lanjut yang lebih terperinci mengenai sesi ujibakat secara online atau program ini sila layari laman www.fearfactor.com.my sekarang.

Sumber

No comments:

Post a Comment