Tuesday, 3 January 2017

Bila masa saya kahwin lagi? Itu gambar anak saya

Gambar Mohd Isa dengan seorang wanita yang menjadi viral di laman sosial yang mendakwa beliau mendirikan perkahwinan lagi.


SEREMBAN - Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menafikan beliau mendirikan rumah tangga lagi dengan seorang wanita, baru-baru ini.

Gambar yang memaparkan Mohd Isa dengan seorang wanita itu menjadi viral di laman sosial dengan mendakwa beliau telah berkahwin lagi.

Mohd Isa berkata, wanita dalam gambar tersebut merupakan anaknya, Megawati dan gambar tersebut diambil ketika anak keduanya itu melangsungkan pertunangan, lapan tahun lalu.

“Saya ketawa bila melihat gambar ini, wanita itu anak saya dan gambar itu pun dah lama.

“Bila masa saya kahwin lagi. Nak dekat PRU ini macam-macam fitnah,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol, berkata, gambar tersebut turut dijadikan bahan fitnah ketika bertanding Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang pada tahun 2009.

“Sekarang ini zaman fitnah, saya nak nasihatkan orang jangan percaya pun susah sebab sekarang banyak sangat fitnah,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian | 3 Januari 2017

Jamal tidak pernah terfikir cari populariti

Jamal Md Yunos

SHAH ALAM – Pengerusi Gabungan NGO Melayu, Datuk Seri Jamal Md Yunos menafikan beliau mengejar populariti, sebaliknya apa yang dilakukan selama ini adalah berdasarkan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya oleh ahli Umno dan rakan NGO.

Menurutnya, beliau tidak kisah menjadi bahan kecaman netizen, malah kutukan netizen selama ini menjadi inspirasi buatnya untuk menjadi yang lebih baik.

“Bagi saya, mereka boleh katakan apa sahaja. Tapi tidak pernah dalam jiwa dan hati nurani saya untuk popularkan diri sendiri.

“Apa yang saya lakukan mungkin berbeza dengan rakan lain kerana saya fikir apa yang kita lakukan itu perlulah sampai sasarannya,” katanya kepada Sinar Online.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengharapkan Jamal untuk memberikan kerjasama kepada polis dalam menangani jenayah sekali gus tidak mengambil tindakan sendiri bagi meraih populariti dirinya.

Kelmarin, katanya lagi, tindakan pemilik Sekin Fishermen Village Hotel & Resort yang 'menyerbu' pusat judi haram, baru-baru ini, dibimbangi akan menjadi ikutan masyarakat sehingga boleh menimbulkan keadaan luar kawalan.

- Sumber: Sinar Harian | 3 Januari 2017