Sunday, 13 November 2016

Bom meletup di gereja Samarinda, lima kanak-kanak cedera

Ketua Hubungan Masyarakat Polis Kalimantan Timur, Fajar Setyawan dipetik sebagai berkata, ketika kejadian kanak-kanak sedang bermain menunggu ibu bapa mereka beribadah.

JAKARTA: Lima kanak-kanak termasuk seorang bayi parah apabila sebuah bom meletup di halaman sebuah gereja di Samarinda, Kalimantan Timur, hari ini.

Menurut laporan berita televisyen tempatan, ketika kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, puluhan penganut Kristian sedang bersembahyang dalam Gereja Oikumene di Jalan Cipto Mangunkusumo di daerah Sengkotek, Samarinda itu.

Ketua Hubungan Masyarakat Polis Kalimantan Timur, Fajar Setyawan dipetik sebagai berkata, ketika kejadian kanak-kanak sedang bermain menunggu ibu bapa mereka beribadah.

Katanya, menurut saksi, seorang lelaki dikatakan meletak sebuah beg di halaman gereja tempat kanak-kanak sedang bermain itu sebelum melarikan diri dengan melompat ke dalam sungai berdekatan.

"Bom yang diletakkan dalam beg itu meletup, empat buah motosikal terbakar dan lima kanak-kanak termasuk seorang bayi parah akibat terkena percikan bom itu," katanya.

Beliau berkata kesemua mangsa telah dibawah ke hospital berdekatan untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Katanya, orang ramai yang melihat kejadian itu kemudiannya mengejar suspek dan menangkapnya yang cuba bersembunyi dalam sungai.

Fajar berkata orang ramai yang menangkap lelaki yang terbabit menyerahkannya kepada polis sejurus kejadian.

Hasil siasatan awal mendapati suspek lelaki berumur 32 tahun terbabit memakai kemeja-T bertulis 'Jihad Way of Life' dan berasal dari Bogor, Jawa Barat.

"Suspek kini ditahan untuk siasatan dan dia sedang menerima rawatan kerana mengalami kecederaan," katanya.

Pada Ogos lepas, jemaah sebuah gereja di Medan mengagalkan cubaan seorang lelaki yang bersenjatakan sebilah pisau menyerang seorang paderi ketika sedang berkhutbah.

Lelaki itu juga didapati membawa dua butir bom buatan sendiri dalam beg galasnya.

-- BERNAMA | November 13, 2016  

Polis tahan suspek gangguan seksual dalam LRT

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki tempatan yang didakwa melakukan jenayah gangguan seksual terhadap seorang wanita ketika berada di dalam LRT pada Selasa lepas ditahan oleh Polis Bantuan Prasarana pagi tadi.

Ketua Jabatan Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategi Prasarana, Lim Jin Aun berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan oleh Pasukan Unit Tindakan Khas (SAT) ketika berada di dalam bas Rapid KL laluan dari arah Subang Mewah menuju ke Pasar Seni pada pukul 11.15 pagi.

"Suspek itu telah dibawa ke pejabat SAT untuk proses dokumentasi dan diserahkan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Lim berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan maklumat sehingga tertangkapnya suspek.

Beliau berkata tangkapan dibuat susulan laporan yang dibuat oleh mangsa yang mendakwa telah diganggu seorang lelaki di dalam LRT yang turut mendapat liputan meluas dalam media sosial.

"Rapid KL selaku operator kepada perkhidmatan LRT, Monorel, Bas Rapid Transit (BRT) dan bas di Lembah Klang komited menjamin keselamatan serta keselesaan penumpang," katanya.

Lim berkata, penumpang yang terlihat atau menjadi mangsa jenayah diminta melaporkan segera kepada anggota Polis Bantuan yang bertugas di stesen.

"Kerjasama daripada pengguna amat kami hargai bagi membanteras jenayah di ibu negara khususnya dalam pengangkutan awam," katanya.

Pada 8 November lepas, seorang pengguna laman sosial Facebook yang menggunakan nama Syima Mohamad memuat naik gambar seorang lelaki yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap dirinya ketika berada dalam kesesakan penumpang LRT di stesen Universiti sebelum suspek berkenaan turun di stesen Bangsar. 

- Bernama | 13 November 2016