Saturday, 16 January 2016

Afdlin Shauki tidak suka Qu Puteh ubah budaya pasukan bola sepak



PELAKON dan pelawak terkenal, Afdlin Shauki hari ini meluahkan rasa tidak selesa dengan tindakan pemilik Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida bersama para pemain dan pegawai Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menggayakan isyarat jari yang sebati dengan jenama Qu Puteh.

Mereka tampil dengan gaya berkenaan dalam majlis menandatangani kontrak perjanjian pasukan Liga Super Kelantan musim 2016, Jumaat lalu.

Dalam status Facebooknya, Afdlin menjelaskan dia tidak boleh menerima apabila pihak penaja cuba menentukan budaya dan integriti sesebuah pasukan bola sepak.

Respon netizen

Pandangan Afdlin bagaimana tidak dipersetujui kebanyakan netizen.

Kebanyakan komen pada statusnya menegaskan Datuk Seri Vida mempunyai hak sebagai penaja utama untuk menentukan imej pasukan.

Ada juga yang berpendapat pasukan Pamoga Qu Puteh TRW tidak mempunyai pilihan kerana tajaan bernilai RM16 juta dilihat mampu menamatkan krisis kewangan yang dialami kelab tersebut.

Netizen turut meminta Afdlin berfikiran lebih terbuka kerana para pemain juga dilihat rela berbuat demikian sebagai memenuhi strategi pemasaran yang akan menguntungkan pasukan.



- Sumber: Astro Awani

Najib edar sampul angpau percuma sempena sambutan Tahun Baharu Cina

Sampul angpau itu berwarna merah dan memaparkan karikatur Najib dengan berbaju tradisional Cina. - Foto Facebook

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengedarkan sampul angpau secara percuma sempena Tahun Baharu Cina yang akan disambut masyarakat Cina pada 8 Februari ini.

"Sambutan Tahun Baharu Cina akan tiba tidak lama lagi, kami akan mengedarkan sampul angpau Ah Jib Gor edisi khas secara percuma kepada peminat-peminat," menurut kenyataan berbahasa Mandarin yang disiarkan melalui laman Facebook Ah Jib Gor.

Menurut laman web Facebook Ah Jib Gor, peminat-peminat hanya perlu tekan "Like" pada laman itu dan mengisi butiran peribadi seperti alamat rumah, nama penuh dan nombor telefon masing-masing.

Sampul angpau itu berwarna merah dan memaparkan karikatur Najib dengan berbaju tradisional Cina serta karakter kartun monyet yang dicetak perkataan "Selamat Menyambut Tahun Monyet' dalam warna emas.

Setiap paket mengandungi 10 keping sampul angpau dan akan diedarkan sementara stok masih ada.

Masyarakat Cina akan menyambut Tahun Monyet Api pada 8 Feb ini.

Ah Jib Gor merupakan Facebook perdana menteri dalam bahasa Mandarin, mula beroperasi sejak 16 Jan 2012 sebagai satu lagi platform untuk mendekati masyarakat dengan lebih meluas menerusi laman sosial.

Ah Jib Gor yang bermaksud "Abang Najib" dalam bahasa Mandarin, diwujudkan untuk memberikan satu lagi forum kepada pengguna media sosial berbahasa Mandarin.

- Sumber: Bernama