Sunday, 23 August 2015

Beruk dibaling mercun, dipercayai mati dilanggar lari

Seekor beruk yang dilapor cedera akibat mercun yang dipercayai maut dilanggar lari oleh pihak bertanggungjawab pada Sabtu lepas.

KUALA LUMPUR: Sejak beberapa hari lalu, media sosial dibanjiri dengan kisah seekor beruk yang cedera akibat mercun yang dipercayai merupakan perbuatan manusia yang sengaja ingin menganiaya haiwan tersebut.

Sekeping gambar seekor beruk yang dikenali sebagai Michai dengan tangannya berdarah, menjadi viral di laman sosial sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

Hari ini, netizen dikejutkan pula dengan berita kematian Michai yang dipercayai telah dilanggar lari.

Sebuah persatuan haiwan, Zoologi MY melaporkan insiden tersebut melalui laman Twitternya, lewat malam semalam.

Menurut Zoologi, Michai dilanggar lari Sabtu lepas dan mengalami kecederaan dalaman yang parah.

Michai kemudian dikejar ke sebuah klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan, namun haiwan itu gagal diselamatkan.

Oleh kerana penganiayaan dan pembunuhan hidupan liar semakin meningkat sejak kebelakangan ini, pihak zoologi menyeru pihak berkuasa untuk memantau aktiviti yang tidak bermoral itu. 

Netizen juga tidak melepaskan peluang untuk menuntut keadilan bagi perbuatan kejam itu melalui hashtag #JusticeForMichai di media sosial.

Terdahulu, gambar Michai yang cedera di tangan itu dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Shah Mikail.

Kejadian dipercayai berlaku di Taman TAR, Ampang, namun masih belum dapat dipastikan tarikh serta lokasi gambar Facebook berkenaan.

Memetik laporan portal Mstar, Ketua Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Andrew Sebastian berkata, “Walaupun insiden ini tidak dapat disahkan, orang ramai perlu tahu bahawa mencederakan hidupan liar adalah menyalahi undang-undang dan tindakan tidak berperikemanusiaan.”

Difahamkan, pihak berkuasa telah meminta orang ramai yang mempunyai bukti mengenai insiden tersebut, agar tampil supaya tindakan boleh diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

- Sumber: Astro Awani

Ditukarkan ke JPM, tapi jawatan tidak wujud

Abdul Hamid Bador

DAMANSARA - Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador ‎berkata, ada sesuatu yang pelik berlaku terhadap pertukaran beliau ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ujarnya, walaupun beliau diminta untuk ditukarkan ke JPM namun katanya semakan beliau ke atas JPM dan‎ Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) jawatan beliau ke JPM itu belum wujud.

"Sekarang ini saya akan tunggu 17 September ini (hari terakhir lapor diri)‎, mereka beri sebulan untuk saya lapor diri di JPM, yang hairankan saya, bila saya tanya JPM, jawatan tu 'tak ready' (tidak sedia) lagi. Masih nak berbincang dengan JPA.

"Kalau dah ada jabatan itu, dalam cuti pun saya sanggup pergi, saya batal cuti lapor diri, jawatan pun tiada lagi. Kalau kata ini pengiktirafan, minta maaflah...
"Pada saya, kalau dah jawatan pun belum bersedia, JPA tidak tahu, jadi saya tunggulah. Sama ada saya akan lapor atau tidak," katanya.

Mengulas lanjut Abdul Hamid berkata, pertukaran beliau ke JPM telah dimaklumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Dua minggu ‎sebelum ini pada Jumaat tiga petang saya dipanggil oleh TPM untuk ke pejabat beliau di tingkat 31, Bukit Aman, sebagai pegawai kerajaan yang taat saya pun pergi menghadap beliau.

"Apabila saya dipanggil masuk, perkataan pertama yang keluar dari Zahid Hamidi ialah, Datuk kita kawan tuk. Kita sahabat kita kenal satu sama lain. Saya hanya nak sampaikan pada datuk bahawa saya sudah jumpa PM dan PM telah beri saya dua pilihan. Sama ada saya ditukar ke Majlis Keselamatan Negara atau ke Jabatan Perdana Menteri.

“Saya tergamam dan terkejut sebab sebelum ni saya ada merayu pada Tan Sri Khalid Abu Bakar, saya rayu secara peribadi dengan beliau. Beliau akur wujudnya desas-desus. Saya tak tau macam mana dia dapat tahu tetapi mungkin dimaklumkan dalam mesyuarat," katanya.

Katanya, kenyataan Ahmad itu sangat berat baginya kerana merasakan seperti jasanya tidak dihargai.

"Berat betul hukuman saya terima, sampai kena keluar PDRM saya kata dalam hati. Macam seolah-olah saya dah lakukan dosa besar tak boleh diampunkan, kena dijinak di luar PDRM. Saya kata Alhamdulillah.

"Saya tidak bertanya banyak, saya tanya TPM, saya tahu datuk, tahu sebab apa saya tidak dikehendaki dalam PDRM," katanya.

Namun ujarnya dia tidak kecewa sebaliknya akan terus memberi bakti dan bercakap perihal yang dirasakannya benar.

"Ada kata saya kecewa sebab tidak jadi pengarah, bukan."

"Tetapi pertukaran ini tidak akan menghentikan saya daripada saya melontarkan pandangan, saya ada hak di bawah perlembagaan dan undang-undang, dan saya tahu keterbatatasan dan apa yang perkara apa tidak boleh saya  bercakap" katanya.

- Sumber: Sinar Harian