Tuesday, 18 August 2015

Dalang mahu guling kerajaan akan jumpa PM semula

Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA - Pertemuan pemimpin Umno yang menjadi dalang untuk menggulingkan kerajaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad dibatalkan atas permintaan individu terbabit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, pertemuan lain akan diaturkan semula namun tidak mengetahui tarikh baharu itu.

"Saya faham wartawan telah berkumpul di kediaman peribadi Perdana Menteri di Jalan Duta dan di kediaman rasmi di Seri Perdana untuk melihat siapakah orang itu, maka atas permintaan orang itu, temu janji itu telah dibatalkan.

"Saya tidak tahu bila pertemuan yang baharu diadakan tapi saya pasti pertemuan ini akan diadakan," katanya pada sidang media di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid mendedahkan Pemimpin Umno yang didakwa berhasrat bergabung dengan anggota Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan, akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak jam 6 petang, pada Ahad.

Ahmad Zahid berkata, pemimpin berkenaan telah sedar akan kesalahannya dan bersedia untuk bertemu dengan Najib.

Ketika ditanya tentang sebab pembatalan tersebut, beliau bagaimanapun secara berseloroh berkata, pemimpin Umno terbabit melupakan hasratnya itu kerana kehadiran petugas media yang begitu ramai.

"Ada sebab (kerana) wartawan ramai tunggu dia," katanya lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

TMJ tegur kenyataan Puad Zarkashi


TMJ berkata sebarang spekulasi mengenai perkara itu tidak perlu diadakan kerana hanya dirinya dan Sultan sahaja yang mengetahui perkara sebenar. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR: Tengku Mahkota Johor (TMJ) Brigadier Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegur Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang membuat kenyataan bahawa tiada masalah di antara Sultan Johor dan Perdana Menteri.

TMJ berkata, tidak wajar untuk Dr Mohd Puad membuat kenyataan tersebut tanpa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

"Merujuk pernyataan yang dibuat seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengatakan tidak ada masalah antara Sultan Johor dan perdana menteri, pada pendapat saya seseorang tidak perlu membuat kenyataan tanpa menyedari cerita yang sebenar.

"Jangan membuat spekulasi berkenaan DYMM Tuanku ada masalah dengan perdana menteri atau tidak, kerana hanya DYMM Sultan dan saya sahaja yang tahu keseluruhan cerita tentang perkara tersebut.

"Oleh itu, buat masa ini, hanya kita perlu tahu dan tidak ada sebab untuk ia didedahkan kepada umum," katanya menerusi akaun Facebook rasmi Johor Southern Tigers pada Ahad.

Pada Sabtu, Mstar melaporkan, Dr Mohd Puad menyelar tindakan pihak-pihak tertentu yang menyebarkan khabar angin di media sosial bahawa Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mempunyai hubungan baik.

Antara lain, Dr Mohd Puad turut memberitahu bahawa perkara itu disahkan dalam pertemuannya dengan Najib baru-baru ini.




- Sumber: Astro Awani