Monday, 17 August 2015

Mereka hanya panggil MP, bukan penjenayah

Dyana bercakap sesuatu dengan moderator, Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

SHAH ALAM – Ahli Majlis Eksekutif Sosialis Muda DAP Kebangsaan, Dyana Sofea Mohd Daud membidas tindakan sesetengah pihak pengurusan universiti yang menggantung pelajarnya kerana menjemput ahli politik untuk menyampaikan ucapan di dalam universiti.

Menurut Dyana, 27, tindakan tersebut seolah-olah untuk menyekat kebebasan bersuara dan pendapat dalam kalangan mahasiswa di negara ini.

“Tindakan tersebut dibuat seolah-olah cuba untuk menakutkan mahasiswa daripada terus menyuarakan hak mereka di universiti. Ruang untuk kebebasan bersuara tidak pernah cukup. Kita perlu manfaatkan apa yang ada.

“Seperti apa yang berlaku di sebuah universiti, mereka (mahasiswa) panggil ahli Parlimen untuk bercakap tentang isu semasa.

“Mereka hanya panggil ahli Parlimen, bukan penjenayah tetapi mereka ini akhirnya digantung pengajian,” katanya ketika menyampaikan pandangannya tentang kebebasan bersuara menerusi Wacana Sinar Harian Siri ke-36 bertajuk ‘Kuasa Politik Baharu, Apa Anak Muda Mahu’ di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Menurut Dyana yang juga AJK DAP Negeri Perak, selain mahasiswa, anak muda lain juga terhimpit kerana tidak mempunyai platform yang sesuai untuk menyatakan pendapat masing-masing.

“Anak muda mahukan kebebasan berfikir dan kebebasan pendapat. mereka juga tidak suka disuruh. Memperjuangkan kebebasan adalah salah satu keutamaan dalam perjuangan saya.

“Anak muda adalah generasi smart phone (telefon pintar). Mereka cepat dan responsif. Sekiranya kerajaan mahu anak muda duduk dan dengar kata kerajaan hanya kerana anak muda dianggap masih tidak matang, maka ia tidak boleh diterima lagi,” katanya lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

Jururawat bukan ‘kerja’ tengok anu lelaki!

Salinan paparan perkongsian oleh Putry Al Wafa di Facebook

TINDAKAN beberapa pelayar laman sosial yang menghina jururawat dan menuduh mereka suka melihat kemaluan pesakit lelaki mendapat perhatian seorang jururawat wanita yang bertindak membalas kembali kritikan tersebut menerusi satu perkongsian.

"Assalamualaikum Tuan Cham Cham yang dihormati. Semoga saya dan kawan-kawan nurse (jururawat) yang lain diampuni segala dosa dan pekerjaan kami diterima dan diredai ALLAH taala," kata Putry Al Wafa di laman sosial Facebooknya, semalam.

Putry bertindak membalas kenyataan pemilik akaun Tuan Cham Cham memuatnaik status yang menuduh jururawat wanita 'suka melihat kemaluan pesakit lelaki'.

"Untuk pengetahuan tuan, kami sebagai nurse wanita langsung tak hadap nak tengok kemaluan lelaki melainkan itu adalah sebahagian dari tugas kami.

"Bab-bab tugas yang lain saya tak mau cerita panjang, memandangkan tuan hanya berkata kami 'sebok nak tengok kemaluan pesakit lelaki sahaja'," tambahnya.

"Sekali lagi, saya harap Tuan faham apa yang saya nak sampaikan dan terima kasih kerana menghina," akhiri Putry dalam perkongsian tersebut.

Pada bahagian komen, Putry sekali lagi menegaskan pendirian beliau.

"Saya bukan mencari glamour apatah lagi publisiti murahan macam ni. Saya cuma fight for the right. Pertahankan profesion saya sebagai jururawat.

"Sesiapa yang bekerja seperti saya, akan faham apa yang nak saya sampaikan. Tak perlu hina kami dengan kata-kata yang boleh menjatuhkan maruah kami yang juga seorang wanita," tegasnya.

Majoriti pelayar yang dipercayai jururawat juga memberikan sokongan dan menghentam kritikan Tuan Cham Cham tersebut.

"Kenapalah prasangka negatif. Tuan Cham Cham ni.. Tugas kami merawat dan membantu.. Masya-ALLAH jangan sangka kami bukan-bukan. Tiada apa yang kami harapkan dan sangat-sangat gembira melihat pesakit kami datang dengan sakit dan pulang dengan sihat...," kata Mma Aini Ahmad .

"Adik aku, sepupu aku pun kerja jururawat. Hormatilah kerja orang. Tukang sapu sampah pun ada maruah. Inikan pula jururawat. Dunia ni bulat. Jangan bangga sangat apa yang kita ada. Tak kekal mana pun," kata Kenji Faizal.

"Biadapnya laki tu... Harap nanti dia sedar la kebodohan dia tu boleh makan diri dia," kata Fiena Annie.

- Sumber: Sinar Harian