Thursday, 13 August 2015

Syefura dipanggil polis untuk diambil keterangan kes hina Sultan

Pihak polis berkata, Syefura dipanggil memberi keterangan kerana beberapa laporan polis telah dibuat ke atasnya. - Foto Facebook Syefura Othman

KUALA LUMPUR: Polis telah memanggil Syefura Othman dari DAP supaya tampil memberi keterangan di balai polis Dang Wangi bagi membantu siasatan yang mengaitkan dirinya dengan perbuatan menghina Sultan, lapor portal berita Malay Mail Online.

Ahli DAP yang popular dengan panggilan Rara itu memberitahu portal berkenaan hari ini bahawa dia telah dimaklumkan tentang perkara itu menerusi mesej sistem pesanan ringkas.

Difahamkan, Syefura dipanggil memberi untuk keterangan pada jam 10 pagi esok dan akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Pihak polis berkata, Syefura dipanggil memberi keterangan susulan beberapa laporan polis telah dibuat ke atasnya.

“Laporan polis telah dibuat dalam banyak isu, salah satunya adalah mengenai kenyataan yang menghina Sultan,” kata ASP Ahmad Khairuddin Alias yang menyatakan bahawa Syefura dipanggil untuk direkodkan keterangannya dan bukan untuk ditahan.

Syefura dipetik sebagai berkata, dia percaya kenyataan yang menjadi kontroversi itu mungkin dibuat pada tahun lalu mengenai kes aktivis Ali Abd Jalil.

Ali ketika itu berdepan dengan tiga dakwaan hasutan kerana menghina Sultan Selangor dan kerabat diraja Johor selain memperlekehkan institusi diraja.

“Polis telah datang dan bercakap dengan adik saya. Mereka tidak menyatakan sebab saya mahu disiasat tapi ia berkaitan dengan Akta Hasutan,” katanya merujuk kepada detik pihak polis yang telah datang mencarinya di kediamannya atas arahan dari balai polis Dang Wangi.

- Sumber: Astro Awani 

Twitter mansuh had 140 aksara dari mesej secara terus

Twitter telah memansuhkan had 140 aksara terhadap fungsi mesej secara terus (Direct Messages).

KUALA LUMPUR: Laman microblogging Twitter sememangnya diketahui dengan had 140 aksara (huruf dan nombor) dalam setiap Tweet yang dimuat naik.

Namun had yang sama telah dimansuhkan buat fungsi mesej secara terus (Direct Messages).

Laman rasmi media sosial itu pada Rabu mengumumkan bahawa had 140 aksara yang sebelum ini turut diguna pakai pada mesej secara terus telah dimansuhkan.

“Had 140 aksara telah dimansuhkan dan pengguna kini boleh berbual secara berpanjangan menggunakan fungsi mesej secara terus,” jelas Twitter menerusi blog syarikat.

Pada Januari, Twitter mewujudkan fungsi mesej secara berkumpulan serta mengumumkan beberapa perubahan lain pada bulan April.

Perubahan tatacara yang diumumkan pada April termasuklah tetapan yang membolehkan pengguna menerima mesej dari pengguna lain meskipun keduanya tidak mengikuti satu sama lain. 

- Sumber: Astro Awani