Sunday, 26 July 2015

6 tahun pemergian, peminat kongsi pesan Yasmin Ahmad

Media sosial hari ini dibanjiri dengan kata-kata semangat pengarah Yasmin Ahmad, enam tahun selepas pemergiannya.

KUALA LUMPUR: Media sosial hari ini dibanjiri dengan pesan dan kata-kata semangat yang pernah disuarakan oleh pengarah Yasmin Ahmad.

Ini kerana, hari ini merupakan ulang tahun ke-enam pemergian pengarah filem yang terkenal menerusi filem Sepet, Talentime dan Gubra.

Karya beliau, walaupun ringkas, tetapi memberi kesan yang hebat kepada mereka yang telah menonton.

Filem atau iklan arahan beliau menggunakan gaya lakonan yang bersahaja dan semulajadi.

Yasmin Ahmad turut terkenal dengan kata-kata semangat beliau, yang dapat menjadi inspirasi dan motivasi kepada para peminatnya.

Antara yang berkongsi mutiara kata Allahyarham ialah pelakon terkenal Sharifah Amani, yang pernah membintangi beberapa filem arahan Yasmin Ahmad.

Maybank turut memberi penghormatan kepada Yasmin Ahmad.

“Kami memperingati beliau untuk karya dan kreativiti beliau,” tulis Maybank menerusi akaun rasmi Twitter mereka.

Ia juga memuat naik video iklan bertajuk ‘Close To You’ yang merupakan skrip terakhir yang dikarang oleh Yasmin Ahmad dan dihasilkan dalam bentuk sebuah iklan oleh syarikat perbankan terkemuka itu.

Sementara itu di Singapura, satu tanyangan istimewa diadakan di Malay Heritage Centre bagi memperingati karya Yasmin Ahmad.

Tiga filem yang ditayangkan adalah Rabuh, Mukhsin, dan Talentime.

Pada November 2014, muzium khas yang diberi nama Yasmin At Kong Heng dirasmikan bagi meraikan kehidupan pengarah filem terkenal itu. 

Pada Mac 2015, filem ikonik Sepetditayangkan semula, 10 tahun selepas tayangan filem berkenaan.

Selain Sepet, filem-filem yang dihasilkan beliau seringkali menjadi buah mulut orang kerana keunikan jalan cerita yang dibawanya seperti Gubra, Mukhsin, Muallaf dan Talentine.

Yasmin Ahmad meninggal dunia pada 25 Julai 2009 akibat pendarahan teruk di otak. 

- Sumber: Astro Awani 

Tindakan penggantungan The Edge wajar hanya selepas siasatan selesai - Akhbar Satar

AKHBAR: TI-M merasakan KDN seharusnya mengenakan tindakan undang-undang supaya pihak yang terbabit boleh membela diri mereka di mahkamah. - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Penggantungan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily sepatutnya dibuat selepas penyiasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai.

Transparency International – Malaysia (TI-M) Presiden Datuk Akhbar Satar dalam satu kenyataan berkata tindakan tersebut akan dianggap kukuh jika terdapat alasan yang kuat di akhir penyiasatan tersebut.

"Kebelakangan ini, terdapat beberapa dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan dari semua pihak. Oleh itu, kenapa gantung The Edge?" kata Akhbar.

Tambah beliau, TI-M merasakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) seharusnya mengenakan tindakan undang-undang supaya pihak yang terbabit boleh membela diri mereka di mahkamah.

"Menggantung sebuah akhbar kerana melaporkan skandal 1MDB tidak akan membantu kerajaan langsung. Malah, impak ke atas Malaysia adalah negatif termasuk persepsi antarabangsa ke atas kebebasan media," kata Akhbar.

Beliau turut menyentuh mengenai laman web Sarawak Report yang disekat dimana ia memberi gambaran Kerajaan telah membelakangi janji untuk tidak menapis Internet. 

"Semua tindakan ini akan mengakibatkan kehilangan keyakinan terhadap negara dan memberi impak negatif kepada mata wang.

"Kerajaan kita tidak seharusnya 'melebih-lebih' dalam menghalang kebebasan bersuara atas dasar bertindak atas pengkritik," jelas beliau. 

- Sumber: Astro Awani