Friday, 19 June 2015

Vanidah Imran pasrah


PELAKON, Vanidah Imran menganggap dugaan yang datang kepadanya sehari sebelum Ramadan sebagai ujian daripada ALLAH SWT untuknya.

Biarpun redha dengan kejadian yang memusnahkan kereta jenis Mini Cooper kesayangannya, Vanidah yang mesra di sapa Vee tetap tidak dapat menyembunyikan rasa sedih atas kehilangan kereta yang sudah digunakan selama lapan tahun itu.

Apatah lagi, kereta tersebut dimiliki selepas memenangi program Sehati Berdansa.

"Saya sedih sangat sebab sudah lapan tahun bersama kereta itu. Malah, selama lapan tahun menggunakan kereta tersebut, ia sangat mudah dijaga termasuk dari segi penyelenggaraan dan minyak.

"Bagaimanapun saya pasrah dengan apa yang berlaku dan menganggap ia bukan rezeki saya lagi," ujarnya.

Dalam kejadian jam 3 pagi, pada Rabu lalu, kereta dipandu Vanidah tiba-tiba terbakar dekat Sungai Besi, ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari Melaka selepas menjalani penggambaran drama.

Dalam pada itu, menyentuh aktiviti pada Ramadan kali ini, Vanidah berkata, dia berharap dapat menghabiskan masa bersama keluarga.

“Saya mahu bersama keluarga, berbuka, masak untuk mereka dan solat tarawih bersama, " katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

Tragedi hari pertama Ramadan

Fauziah (kiri) bersama anak yang lain sempat ke lokasi kejadian selepas menerima berita kemalangan yang berlaku ke atas anak sulungnya.

RAWANG - “Ibu makan cepat tau, nanti batal puasa. Along ni lainlah, belum tahu esok puasa ke tak,” demikian gurauan terakhir pelajar tahun akhir jurusan Pengurusan IT Networking sebuah kolej di sini, Mohd Ashraff Daharin, 20, yang maut selepas motosikal ditunggangi melanggar belakang lori dalam kejadian jam 11.30 pagi semalam.

Sumber polis berkata, Mohd Ashraff maut di lokasi kejadian di jalan besar Bandar Tasik Puteri berhampiran Sekolah Menengah Integrasi Rawang selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai urusan kolej di pekan Rawang.

Menurut sumber itu, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian tidak sempat mengelak sebuah lori berhenti di lorong kiri jalan disebabkan tayarnya pancit.

“Mangsa langgar belakang lori tersebut dan jatuh di lorong kanan sebelum dilanggar sebuah lagi lori yang turut menggunakan jalan tersebut.

“Jenazah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kenderaan terlibat telah ditahan untuk siasatan,” katanya.

Sementara itu ibu mangsa, Fauziah Md Hussen, 51, berkata, anak sulungnya itu sempat bersahur di rumah awal pagi semalam bersama ahli keluarga lain di Bandar Tasik Puteri.

Katanya, tingkah laku anaknya itu sedikit berbeza sejak petang kelmarin apabila dia kelihatan lebih ceria berbanding hari-hari sebelumnya.

“Ashraff ni pendiam tapi pagi tadi (semalam) masa sahur dia jadi ramah sangat. Dia ajak saya dan adiknya kongsi makanan dengan dia.

“Petang semalam (kelmarin) pula dia ada minta saya sediakan mi goreng mamak kegemarannya untuk makan sahur. Jadi jam 4 pagi lagi saya dan suami keluar untuk membelinya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Fauziah, anaknya juga ada meminta izin untuk meminjam motosikal untuk ke kolej pada jam 8 pagi dan berjanji akan pulang sebelum jam 1 tengah hari.

“Saya yang tinggal di tingkat satu ada jenguk ke bawah untuk pastikan Ashraff dah balik. Sebaliknya kawan dia yang datang beritahu Ashraff maut dalam kemalangan.

“Saya memang rasa agak terkilan sebab dia tu harapan keluarga kami. Allahyarham Asyraff ada janji nak ringankan beban kami sekeluarga sebaik sahaja dia menamatkan pelajaran, tapi nampaknya hasrat dia tak sampai," katanya.

Katanya, lebih memilukan, baju raya mereka sekeluarga juga telah siap dengan tema merah jambu dan ia dipilih sendiri oleh Asyraff.

- Sumber: Sinar Harian