Thursday, 7 May 2015

PKR kekal kerusi Permatang Pauh

Wan Azizah (kanan) dirai keluarga dan penyokong PKR sejurus pengumuman keputusan rasmi dan kemenangan parti itu. -Astro AWANI / Shahir Omar

PERMATANG PAUH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh apabila calonnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang dengan majoriti 8,841 undi.

Wan Azizah berjaya mendapat 30,316 undi, manakala calon Barisan Nasional (BN) Suhaimi Sabudin memperoleh 21,475 undi, calon Bebas Salleh Isahak 367 undi, dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Azman Shah Othman 101 undi.

Jumlah undi rosak ialah 843.

Keputusan rasmi PRK itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Permatang Pauh, Jusni Ismail pada jam 10.15 malam tadi di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini.

Peratusan yang keluar mengundi adalah 74 peratus.

Calon BN, PRM dan Bebas bagaimanapun tidak hadir ketika pengumuman itu dibuat.

Pada pilihan raya umum (PRU) 2013, Ketua Pembangkang dan bekas Ahli Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga suami Dr Wan Azizah, menerima 37,090 undi menewaskan calon BN Dr Mazlan Ismail (25,369 undi) dan calon Bebas Dr Abdullah Wan Zawawi (201 undi).

Anwar menang dengan majoriti 11,721 undi.

Jumlah undi yang diperoleh Wan Azizah dalam PRK ini berbanding Anwar pada PRU lalu pula berkurangan sebanyak 6,774.

Proses pengundian bermula sekitar jam 8 pagi tadi di 25 buah pusat pembuangan undi dengan 130 saluran mengundi.

PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi, Dr Wan Azizah, Azman Shah dan Salleh.

Kerusi itu kosong selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan liwat kedua beliau pada 10 Februari manakala Lembaga Pengampunan menolak permohonan pengampunan yang difailkan keluarga Anwar terhadap hukuman penjaranya.

Kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,890 pengundi, dengan kira-kira 70 peratus pengundi Melayu.

- Sumber: Astro Awani 

Gempa Nepal: Mayat rakyat Malaysia dibawa ke Kathmandu


Mayat rakyat Malaysia dibawa ke Kathmandu, lapor Bernama.

KATHMANDU: Mayat seorang rakyat Malaysia, Sai Jaya Raj Anthony yang hilang sebelum gempa bumi dasyat yang melanda Nepal 25 April lepas, kini berada di Hospital Universiti Tribhuvan, lapor Bernama.

"Mayatnya sekarang berada di hospital untuk bedah siasat dan akan diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia selepas prosedur perundangan mengenainya selesai," kata jurucakap kepada Kementerian Luar Nepal, Tara Pokhrel.

Memetik laporan Bernama, Mejar Janak Silwal daripada Angkatan Tentera Darat Nepal menyatakan bahawa mayat Anthony ditemui di Langtang, kira-kira 150 km utara Kathmandu, pada Rabu dan diterbangkan ke Kathmandu.

Anthony seorang deejay terkemuka telah mengembara dengan berjalan kaki di kawasan Langtang pada 21 April lepas sebelum keluarga di tanah air gagal menghubunginya. 

Sebelum ini, portal mStar melaporkan mayat seorang warga Malaysia yang dipercayai Raj Anthony ditemui awal pagi tadi di Lembah Langtang, salah sebuah perkampungan di kawasan pergunungan kira-kira 130 kilometer utara Kathmandu.

Pegawai polis Nepal menjelaskan bahawa pihaknya sedang menunggu pengesahan mayat. 

Manakala, Pegawai kedutaan Malaysia di Kathmandu, Fadli Adilah menyatakan bahawa mereka akan melakukan segala pengurusan untuk membawa mayat pulang ke tanah air.

- Sumber: Agensi