Saturday, 25 April 2015

Tun M kritik pembunuhan di Timur Tengah

  • Tun Dr Mahathir Mohamad.
  • Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengkritik konflik yang berlaku di Timur Tengah.

Kata beliau, pembunuhan yang berlaku di Timur Tengah adalah salah di sisi undang-undang negara dan agama.

“Kita lihat sekarang apa yang berlaku di Timur Tengah. Kita dilarang membunuh saudara kita yang seagama dengan kita.

“Tetapi mereka ini jerit kalimah ALLAH kemudian bunuh kawan sendiri, tidak berdosakah? Adakah jika mereka membunuh dengan menggunakan kalimah ALLAH boleh menghalalkan pembunuhan yang dilakukan olehnya?” katanya dalam program Bicara Negarawan, hari ini.

Arab Saudi baru-baru ini mengumumkan pelancaran kempen ketenteraan di Yaman selepas pihak pemberontak Syiah menguasai sebahagian besar negara tersebut.

Menurut duta Arab Saudi di Amerika Syarikat, Adel al-Jubeir memberitahu bahawa Arab Saudi adalah sebahagian dari gabungan 10 buah negara yang akan menghentikan kemaraan pihak pemberontak Houthi.

“Walaupun kita solat dan kita puasa, kita bayar zakat, kita pergi Haji dan kita mengucap hari-hari, salah tetap salah,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

Pas-PKR berdamai, tapi kena sokong hudud

Omar (dua, kanan) bersama pemimpin PR mengiringi Dr Wan Azizah ke pusat penmaan calon PRK Permatang Pauh.

Omar (dua, kiri) bersama penyokong PR di pusat penamaan calon PRK Permatang Pauh hari ini.

PERMATANG PAUH - Sengketa Pas Permatang Pauh dengan PKR selesai malam semalam setelah kedua-dua belah pihak bertemu dan bersetuju berdamai.

Perjumpaan itu melibatkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang juga Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang; Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Datuk Mohd Salleh Man dan Yang Dipertua Pas Kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan.

Manakala PKR diwakili presiden, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.

Omar berkata, pihaknya menerima persetujuan PKR iaitu semua pemimpin dan ahlinya yang beragama Islam akan menyokong pelaksanaan hudud yang dicadangkan Pas manakala pemimpinnya yang bukan Islam tidak menyokong hukum itu.

"Pas Permatang Pauh berpuas hati dengan cadangan dan keputusan dari PKR itu.

"Kita anggap isu ini yang berlarutan beberapa hari sebelum ini selesai dan Pas Permatang Pauh akan menggerakkan semua jentera pilihan raya untuk membantu kempen calon PKR," katanya kepada media selepas mengiringi calon PRK ke pusat penamaan calon di sini hari ini.

Ditanya sama ada Dr Wan Azizah dan Mohamed Azmin ada memohon maaf dan menarik balik kenyataan seperti yang diusulkan Pemuda Pas Permatang Pauh dalam mesyuarat agung tahunan kawasan itu Ahad minggu lalu, Omar enggan mengulas.

Sebaliknya beliau berkata, isu itu sudah selesai dan tidak timbul lagi memberi kata dua untuk menghentikan kerjasama atau memboikot kempen pilihan raya PKR.

Sebelum ini, dalam mesyuarat agung tahunan Pas Permatang Pauh meluluskan usul menggesa kepimpinan PKR membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan mereka yang tidak menyokong pelaksanaan rang undang-undang persendirian berkaitan hudud.

Omar Hassan berkata, PKR diberi tempoh sehingga sebelum hari penamaan calon untuk membuat permohonan maaf dan menarik semula kenyataan tidak menyokong hudud.

Menurutnya, jika PKR bersetuju dan meminta maaf secara terbuka pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan parti itu dalam PRK Permatang Pauh kelak.

Pendirian ini dibuat dan disepakati oleh akar umbi kerana ahli Pas di Permatang Pauh mampu memberi kemenangan kepada calon yang akan bertanding pada PRK nanti.

Dalam reaksinya, Dr Wan Azizah berkata, PKR akan berjumpa kepimpinan Pas Permatang Pauh bagi mendapat penjelasan mengenai tuntutan itu kerana sebelum ini Omar sudah menyatakan sokongan terhadap PKR bagi menghadapi PRK Permatang Pauh.

- Sumber: Sinar Harian