Sunday, 19 April 2015

'‎Nak sembelih mu'

KOTA BHARU - Seorang pengganggur menafikan tuduhan mengugut ibunya dengan berkata 'nak sembelih mu' ketika dia dihadapkan ke mahkamah majistret, di sini, siang tadi.

Tertuduh, Mohd Fahmin Mohamad Anipa, 29, didakwa melakukan ugutan jenayah itu dengan menimbulkan ketakutan terhadap Norfazilati Mat Zain, 46, di alamat Kampung Terusan Limbat, di sini, pada jam 3 petang, 14 April lalu.

Susulan pengakuan tidak bersalah tertuduh, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri memohon tarikh sebutan lain untuk pengurusan kes.

Nurliyana pada prosiding itu juga tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh dengan alasan dakwaan tersebut serius dan tidak mahu tertuduh menganggu mangsa, jika dia dibebaskan.

Tertuduh dilihat bersahaja di dalam kandang pesalah dan hanya berdiam diri tanpa mengemukakan sebarang rayuan.

Tiada ahli keluarganya yang hadir ke mahkamah ketika itu.

Majistret Mohd Firdaus Zainal Abidin kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan syarat jaminan itu hanya boleh dibayar oleh ibunya.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 Mei depan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu tidak menjelaskan wang jaminan terbabit dan dibawa ke penjara Pengkalan Chepa untuk ditahan sehingga kes disebut semula.

Video air berlumpur, berapi bukan di Johor


KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan video fenomena air berlumpur dan berapi yang tersebar di laman sosial sejak Jumaat sebenarnya berlaku di Pingtung, Taiwan dan bukannya di Batu Pahat, Johor.

Penolong Ketua Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) PDRM, Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad berkata, fenomena itu berlaku di daerah Pingtung di mana gunung berapi lumpur Wandan memuntahkan lumpur dan mengeluarkan gas asli sekali atau dua kali setahun.

Kebakaran pula berlaku akibat tindakan penduduk setempat yang membakar gas asli itu, kataya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak menyebarkan berita-berita palsu sedemikian kerana ia boleh membangkitkan pelbagai spekulasi negatif.

Beberapa laman sosial baru-baru ini menyebarkan rakaman video mengenai fenomena air berlumpur dan berapi yang didakwa berlaku di Jirat Cina Batu 4, Jalan Kluang, Batu Pahat. 

- Sumber: Bernama