Tuesday, 24 March 2015

Tidur siang mampu tingkatkan daya ingatan

- Gambar hiasan

TIDUR pada waktu siang selama 45 minit hingga satu jam boleh meningkatkan lima kali ganda daya ingatan, menurut satu kajian.

Dalam kajian tersebut, 41 pelajar diajar 90 perkataan dan 120 pasangan perkataan yang tidak berkaitan.

Separuh daripada mereka dibenarkan untuk tidur sebentar selepas itu.

Keputusan kajian mendapati pelajar yang tidur sebentar mampu untuk mengingat lebih banyak perkataan daripada pelajar yang tidak tidur.

Penyelia kajian, Profesor Axel Mecklinger berkata, tidur sebentar pada waktu siang di pejabat atau di sekolah mampu untuk meningkatkan kejayaan dalam pembelajaran

"Sesiapa yang berada di dalam persekitaran pembelajaran, perlu berfikir secara serius tentang kesan-kesan positif tidur sebentar pada waktu siang.

"Tidur sebentar dapat menghasilkan peningkatan lima kali ganda dalam meningkatkan daya ingatan maklumat," katanya dipetik Metro.uk

Kajian ini di muatkan dalam jurnal Pembelajaran Neurobiologi dan Ingatan.

- Sumber: Sinar Harian 

Emas RM100,000 dirompak di Sandakan


SANDAKAN - Tiga lelaki bersenjata pistol dan parang merompak sebuah kedai emas dan melarikan emas dianggarkan bernilai RM100,000 di Taman Mawar dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Zabidi Mohd Zain berkata kejadian berlaku 8.17 pagi semasa tiga pekerja iaitu dua lelaki dan seorang wanita berada di dalam kedai emas itu.

Katanya dua daripada perompak itu bersenjatakan parang dan seorang lagi menggunakan pistol mengugut pekerja di kedai itu sebelum melarikan emas yang diletakkan di lapan dulang dalam kedai itu.

Ketika melakukan rompakan itu, tiga perompak itu menggunakan topi keledar bertutup penuh dan menunggang dua motosikal, katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya tiga pekerja di kedai emas itu tidak dicederakan.

Zabidi berkata, polis telah melancarkan operasi memburu tiga perompak itu.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan di talian 089-242222 bagi membantu siasatan. 

- Sumber: Bernama