Wednesday, 4 February 2015

Juruterbang asyik ber'selfie' jadi punca nahas pesawat


Juruterbang berusia 29 tahun itu mempunyai 726 jam penerbangan dan 27 jam pengalaman terbang ketika waktu malam. - Foto YouTube

Tabiat suka ber'selfie' semasa mengendalikan pesawat disyaki menjadi punca sebuah pesawat ringan di Colorado, Amerika Syarikat terhempas pada 31 Mei tahun lalu.

Menurut laporan yang dikeluarkan agensi 'National Transportation Safety Board' di Amerika Syarikat hari ini, tabiat itu berkemungkinan menjadi punca pesawat itu terhempas dan meragut nyawa juruterbang bersama penumpang pesawat terbabit.

Siasatan terhadap bangkai pesawat mendapati, ia tidak mengalami kerosakan yang boleh menyebabkannya pesawat terhempas.

Sebaliknya pasukan penyiasat menemui sebuah kamera mudah alih jenis Go-Pro yang sudah rosak di ruang juruterbang.

Penyiasat mendedahkan, rakaman dari kamera itu memperlihatkan juruterbang, Amritpal Singh sedang asyik ber'selfie' menggunakan telefon bimbitnya bersama penumpang semasa terbang di altitud merbahaya.

Juruterbang berusia 29 tahun itu mempunyai 726 jam penerbangan dan 27 jam pengalaman terbang ketika waktu malam.

Ahli keluarga Amritpal mengesahkan juruterbang berkenaan mengemudi pesawat ketika kejadian dan pesawat itu turut didaftarkan atas namanya.

- Sumber: Astro Awani 

Terselamat dihumban tingkat 7, namun mati direjam

Seorang lelaki yang terselamat dari dihumban jatuh dari tingkat tujuh.

DAMASCUS - SYRIA. Seorang lelaki yang diikat pada kerusi dihumban jatuh dari tingkat tujuh selepas dituduh sebagai homoseksual oleh Kumpulan Militan Negara Islam (IS).

Bagaimanapun lelaki yang berusia 50-an itu terselamat daripada jatuh dari bangunan.

Memetik laporan dari Mail Online, lelaki tersebut dihumban dari bangunan itu kerana mempunyai hubungan dengan kaum sejenis.

Menurut sumber dari Hak Asasi Manusia Syria, kedua tangan dan kaki lelaki itu diikatkan pada kerusi dan matanya ditutup dengan sehelai kain hitam sebelum dihumban ke bawah bangunan oleh pihak IS.

Menerusi sekeping gambar yang dimuat naik melalui laman web kumpulan IS, mangsa dihumban oleh dua anggota IS yang berpakaian gelap.

Walaupun dilaporkan terselamat, namun dia akhirnya direjam dengan batu sehingga menyebabkan kematiannya.

Awal bulan lalu, seorang lelaki dilaporkan direjam dengan batu sehingga meninggal dunia kerana atas dakwaan yang sama.

- Sumber: Sinar Harian