Sunday, 4 January 2015

Padam mesej yang telah dihantar dengan Strings



Padam mesej yang telah dihantar dengan Strings. Gambar - www.strings.com

Setiap orang mesti pernah tersalah hantar mesej menerusi aplikasi permesejan di telefon pintar.

Aplikasi Strings diperkenalkan bagi membolehkan pengguna memadam mesej yang dihantar bukan sahaja pada telefon penghantar tetapi juga pada peranti penerima mesej tersebut.

Memadam mesej ataupun dikenali sebagai 'untexting' itu menyebabkan aplikasi Strings mula trending dan menjadi bualan hangat di laman media sosial.

Menurut pengeluar Strings, Be.Labs, aplikasi yang dicipta itu adalah untuk memberi kuasa penuh kepada pengguna mengawal perbualan peribadi mereka.


Mesej yang dihantar dipadam pada telefon pintar penghantar dan penerima selain pelayan Strings.

Pengguna Strings juga boleh memeriksa sama ada mesej yang dihantar sudah dibaca ataupun tidak.

Fungsi utama Strings adalah mencipta dan berkongsi memori dengan gambar berdasarkan tempat yang kita lawati, perbualan dengan seseorang dan aktiviti yang kita lakukan.

Tidak seperti rangkaian media sosial yang lain, perkongsian memori tersebut hanya dalam bentuk mesej yang dikongsi dengan orang yang kita pilih sahaja.

Buat masa ini Strings hanya boleh dimuat turun pengguna iOS dan belum ada kenyataan mengenai keluaran bagi sistem operasi Android.

- Source: Astro Awani 

Potong gaji penjawat awam bantu mangsa banjir

  • Azih Muda
  • Azih Muda

KOTA BHARU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mencadangkan kepada kerajaan agar setiap penjawat awam menyumbang melalui potongan gaji bulanan untuk membantu mangsa di negeri yang dilanda banjir.

Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam tempoh terdekat supaya penjawat awam boleh menyumbang pada kadar yang munasabah.

"Kalau boleh sumbangan minima RM5 tetapi kalau lebih daripada itu, kita amat alu-alukan," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir negeri ini, di Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam di sini, hari ini.

Azih berkata, Cuepacs berharap potongan gaji itu dapat dilakukan pada bulan ini memandangkan kaedah itu adalah mekanisme terbaik dalam mengumpul dana bagi meringankan beban mangsa banjir.

Beliau berkata, pihaknya juga meminta kerajaan menyediakan peruntukan khas untuk membeli peralatan sekolah termasuk pakaian seragam kepada pelajar yang terjejas dengan banjir.

"Masih ramai yang tiada baju sekolah, yang mana beli awal memang sudah rosak, nak beli untuk kali kedua duit pun sudah habis," katanya yang turut mencadangkan pembayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ditangguhkan. 

- Sumber:  Bernama