Friday, 14 November 2014

Aplikasi Kim Kardashian: Hollywood kutip AS$43 juta dalam tempoh 3 bulan

Heboh di media sosial ketika ini adalah tentang kemunculan eksklusif selebriti realiti tv, Kim Kardashian di laman web PaperMag dot com.

Kami tidak mahu bercerita panjang lebar tentang foto-foto Kim itu tetapi lebih tertarik dengan aplikasi permainan video Kim Kardashian: Hollywood yang telah berjaya mengutip sejumlah USD43 juta hanya dalam tempoh 3 bulan ia dilancarkan pada Jun.


Kutipan itu menjadi rekod tertinggi bagi syarikat pembangunnya, Glu Mobile. Malah jika semua kutipan bagi aplikasi-aplikasi milik Glu Mobile digabungkan, ia belum dapat menyaingi kutipan yang telah dibuat melalui Kim Kardashian: Hollywood. Glu Mobile mensasarkan untuk mengutip sebanyak USD200 juta sehingga hujung tahun ini.




Kim Kardashian: Hollywood adalah satu permainan fantasi bagi pemain yang ingin menerokai kehidupan seorang selebriti. Untuk mencapai tahap selebriti setaraf Kim Kardashian dengan lebih cepat, pemain perlu membuat pembelian ‘in- app purchase’ seperti rumah banglo virtual di Malibu dengan harga USD10.

Dalam satu temubual bersama Matt Lauer dalam rancangan Today Show pada bulan Ogos, Kim menekankan tentang fungsi kawalan ‘parental controls’ untuk mengawal pengguna di bawah umur daripada melakukan pembelian ‘in- app purchase’ tanpa kebenaran ibu bapa mereka. Kim yakin aplikasi permainan videonya adalah sangat menarik dan mampu mengundang ketagihan seperti Candy Crush. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa bagi mengawal anak-anak mereka dan memastikan tidak ada kad kredit disambungkan pada aplikasi berkenaan.

- Sumber: Astro Awani 

Jualan Proton Iriz cecah 22,000 unit

Norzahid (dua, kiri) menyerahkan sebuah Proton Iriz kepada salah seorang pelanggan yang telah membuat tempahan kereta tersebut.

PROTON Edar Sdn Bhd (Proton Edar) menyasarkan jualan sebanyak 27,000 unit Proton Iriz bagi tempoh empat bulan hingga penghujung tahun ini sejak kereta berkenaan dilancarkan September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norzahid Mohd Zahudi berkata, sehingga Jumaat lalu jualan kereta berkenaan sudah mencecah kira-kira 22,000 unit manakala model 1.6 CVT dan 1.3 CVT merupakan antara paling mendapat sambutan.

“Kita tidak jangka permintaan amat menggalakkan kerana Iriz baru dilancarkan. Ini menunjukkan persepsi pelanggan mula berubah dan percaya terhadap kejituan produk Proton serta berbaloi dengan nilai wang dibelanjakan,” katanya di Majlis Memperingati Pembukaan Outlet Proton Edar Kulis Auto Sdn Bhd di Pasir Gudang, semalam.

Selain itu katanya, Proton Edar menjangkakan pertambahan jualan sehingga 30 peratus bagi pasaran Johor berbanding 14 peratus tahun lalu dengan menyasarkan segmen pelanggan mengikut jenis produk dikeluarkan.

“Walaupun Proton tidak mempunyai kenderaan pacuan empat roda seperti ditawarkan jenama luar negara tetapi kita ada pelbagai produk dan akan luaskan pasaran mengikut segmen pelanggan” katanya.

Dalam pada itu, Norzahid berkata, Proton Edar turut merancang mentransformasikan outlet dan cawangan mereka di seluruh negara sebagai langkah mengoptimumkan perkhidmatan yang disediakan.

“Langkah ini bertujuan meningkatkan lagi keyakinan dan kesetiaan pelanggan terhadap Proton dengan menawarkan perkhidmatan terbaik kepada mereka termasuk menaiktarafkan bengkel servis di seluruh outlet,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian