Monday, 10 November 2014

Keluarga Sidek 'bergaduh' isu doping ikon badminton negara?

RASHID: Pemain nombor satu dunia itu sentiasa berpegang kepada prinsip 'tiada jalan pintas' untuk meraih kejayaan dalam sekelip mata.

KUALA LUMPUR: Keluarga Sidek yang melahirkan beberapa jaguh badminton negara dilihat bertelagah mengenai keputusan positif bahan terlarang jenis 'dexamethasone' yang dihadapi ikon badminton negara.

Memetik laporan sebuah akhbar tempatan, bekas pemain beregu negara Razif Sidek dilihat seolah-olah sudah 'lama tahu' pemain itu menggunakan bahan terlarang berkenaan.

"Sebelum ini, susah nak bercakap sebab tiada bukti kukuh, kali ini dia sudah terkena, saya tidak mahu tuduh tetapi sebenarnya perkara ini sudah berlarutan lama.

"Boleh dikatakan pemain senior dan pegawai sudah tahu perkara ini. Malah perkara ini turut mendapat pengetahuan pemain junior tetapi mereka sedar bahawa atlet ini melibatkan wira kebangsaan kita," kata Razif ketika memetik laporan akhbar berkenaan.

Bagaimanapun, ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek pula kini dilihat berada di pihak pemain tersebut selain bersedia memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Panel Pendengaran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung kes doping membabitkan jaguh badminton negara itu.

Rashid juga melahirkan keyakinan beliau tidak bersalah kerana pemain nombor satu dunia itu sentiasa berpegang kepada prinsip 'tiada jalan pintas' untuk meraih kejayaan dalam sekelip mata.

"Bagi saya, beliau tidak bernasib baik (dalam kes doping ini). Secara jujur, dia seorang pemain yang baik dan mempunyai komitmen tinggi (dalam sesi latihan). Dia dapat atasi segala rintangan sebelum berada di mana dia sekarang.

"Secara terbuka, saya memang sentiasa memberi sokongan kepada beliau. Saya sudah lama melatih dia selain mengenali karakternya yang jujur," katanya.

Dalam pada itu, bekas perseorangan utama negara Ong Ewe Hock pula mengganggap jaguh badminton itu tersilap langkah apabila terlalu mahu menjaga statusnya sebagai pemain nombor satu dunia.

Jelasnya, tuntutan untuk selalu beraksi di pentas tertinggi pada usia 32 tahun adalah antara faktor mengapa beliau memerlukan rawatan secara konsisten untuk proses pemulihan daripada pelbagai kecederaan.

Ikon badminton negara itu dilaporkan positif ujian doping bagi Sampel A iaitu ujian air kencing yang dilakukan secara rambang semasa Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lalu.

Beliau dikatakan terbabit dalam skandal doping selepas disahkan positif menggunakan bahan terlarang 'dexamethasone' semasa ujian dijalankan. 

- Sumber: Agensi

30 GRO Thailand leka layan pelanggan dicekup

SEBAHAGIAn daripada GRO yang ditahan di sebuah pusat hiburan di Jalan Datuk Keramat, George Town semalam.


GEORGE TOWN – Keghairahan 30 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand duduk berdampingan sambil melayan pelanggan dalam keadaan menggiurkan terbantut apabila polis menyerbu pusat hiburan berkenaan di Jalan Datuk Keramat di sini semalam.

Kesemua wanita berusia 20 hingga 30-an itu ditahan sepasukan polis dari bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut kira-kira pukul 1.30 pagi.

Semasa serbuan, sebahagian daripada GRO tersebut berada di sisi pelanggan masing-masing dalam keadaan berpelukan termasuk ada yang ligat menari di atas pentas dengan berpakaian menjolok mata.

Difahamkan, mereka gagal meloloskan diri berikutan seluruh kawasan premis berkenaan terlebih dahulu telah dikepung anggota polis.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk A. Thaiveegan berkata, hasil pemeriksaan polis mendapati kesemua wanita terbabit telah menyalahgunakan pas lawatan sosial masuk ke negara ini dengan bekerja sebagai GRO.

- Sumber: Kosmo!