Tuesday, 16 September 2014

UPSR bocor: Jurutera ditahan di Kemaman



KUALA LUMPUR - Seorang jurutera ditahan di Kemaman hari ini berhubung kes kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), menjadikan mereka yang ditahan kini berjumlah tujuh orang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata lelaki tersebut berumur 34 tahun ditahan jam 1 tengah hari.

"Lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Putrajaya dan akan direman esok pagi," katanya dalam satu kenyataan di sini. 

Sebelum ini, enam yang ditahan terdiri lima orang guru dan seorang ejen insurans.

Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan setelah murid mendudukinya Khamis lalu manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 terpaksa ditangguhkan sebelum pelajar mendudukinya pada hari yang sama.

Lembaga Peperiksaan Malaysia menetapkan 30 September sebagai tarikh baharu peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut. 

--Sumber: Bernama

Monday, 15 September 2014

Kedutaan Indonesia nafi ketua polisnya keluar kenyataan tahu punca kehilangan MH370

Laporan berita Indonesia, Tempo.co, dua hari lepas memetik Jeneral Sutarman sebagai mendakwa kononnya pihaknya dan Polis Malaysia mengetahui punca pesawat itu hilang.

KUALA LUMPUR: Kedutaan Indonesia hari ini menafikan Ketua Polis republik itu Jeneral Sutarman ada mengeluarkan kenyataan yang mendakwa kononnya polis Indonesia dan Malaysia mengetahui punca kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak 8 Mac lalu.

Atase Polis, Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, Aby Nursetyanto berkata laporan berita Indonesia dikeluarkan melalui Tempo.co dua hari lepas merupakan kesimpulan yang dibuat sendiri oleh media berkenaan.

"Penulis (berita) itu akan dipanggil Kapolri (Ketua Polis Republik Indonesia) untuk memberi penjelasan sekiranya perlu dan sekiranya ia gagal menunjukkan sebarang bukti, tindakan akan diambil," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Laporan berita Indonesia, Tempo.co, dua hari lepas memetik Jeneral Sutarman sebagai mendakwa kononnya pihaknya dan Polis Malaysia mengetahui punca pesawat itu hilang tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.

Susulan laporan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan laporan media Indonesia itu bahawa pihaknya mempunyai pengetahuan mengenai punca sebenar kehilangan pesawat berkenaan, yang masih menjadi misteri.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata beliau tidak mempunyai maklumat tersebut dan terkejut dengan laporan media itu.

Penerbangan MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemui walaupun pencarian besar-besaran telah dilakukan di selatan Lautan Hindi, tempat pesawat itu dipercayai berakhir. Usaha mencari pesawat MH370 masih diteruskan.

-- Sumber: Bernama