Sunday, 14 September 2014

AirAsia tawar tiket 51 sen sempena Hari Malaysia


SYARIKAT penerbangan tambang rendah AirAsia Bhd menawarkan harga promosi istimewa serendah 51 sen ke destinasi domestik dan antarabangsa terpilih sempena Hari Malaysia 16 September.

Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia memaklumkan laluan penerbangan domestik bagi Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, Johor Bharu, Kuala Terengganu, Miri dan Tawau manakala laluan antarabangsa dari Kuala Lumpur ke Phuket, Krabi, Bangkok, Phnom Penh dan Ho Chi Minh.

Tempoh tempahan promosi tiket sehala adalah dari 15 September hingga 21 September dengan tempoh perjalanan segera bermula dari 16 September hingga 31 Mac 2015.

Kadar tambang itu tidak termasuk cukai dan caj yang berkenaan,

Sementara itu, AirAsia Berhad turut memberi potongan harga tiket sehingga 50 peratus bagi penerbangan AirAsia X melalui promosi 'Fly More For Less' untuk tempat duduk ekonomi di semua destinasi AirAsia X termasuk Australia, China, Taiwan, Sri Lanka dan Nepal.

Promosi 'Fly More For Less' itu akan bermula 15 September hingga 21 September bagi perjalanan dari 15 September hingga 30 November ini. - Bernama

`Langkah kiri'

Incheon, Korea Selatan: Seperti dijangka, skuad bola sepak B-23 negara memulakan kempen dengan langkah kiri pada temasya Sukan Asia selepas kecundang 0-3 di tangan tuan rumah Korea Selatan di Stadium Munhak, hari ini.

Korea Selatan membuka tirai jaringan pada minit ke-27 selepas pemain pertahanannya Rim Chang Woo melonjak tinggi untuk menanduk masuk sepakan sudut Yun Illok dari sebelah kanan.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee bagaikan tidak terdaya dan buntu mencari jalan menembusi benteng utuh pertahanan lawan dan hanya mampu menghasilkan satu percubaan tepat sepanjang perlawanan menerusi penyerang Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-32. 


Penjaga gol Mohd Izaham Tarmizi Roslan cuba menghalang cubaan penyerang Korea Selatan pada saingan peringkat Kumpulan A di Stadium Munhak. FOTO Yazit Razali

Babak kedua terus dikuasai Korea yang jelas cuba menambah gol dan hasil kerja keras mereka berbaloi juga akhirnya menerusi dua gol pantas Shin Wook pada minit ke-78 dan Kim Seung Dae empat minit kemudian. 

Terdahulu, Arab Saudi menundukkan Laos 3-0 dalam aksi kumpulan sama, Kumpulan A. 

Sumber. Harian Metro, 2014/09/14