Saturday, 30 August 2014

Kecewa dengan Di Maria

Ronaldo (kanan) kecewa dengan keputusan Di Maria meninggalkan Real Madrid
Ronaldo (kanan) kecewa dengan keputusan Di Maria meninggalkan Real Madrid

PEMAIN terbaik dunia, Cristiano Ronaldo ternyata kecewa dengan Angel Di Maria yang mengambil keputusan meninggalkan Real Madrid.

Katanya, sebelum ini dia mengharapkan pemain Argentina itu kekal lama di Santiago Bernabeu, sama seperti Xabi Alonso yang kini menyarung jersi Bayern Munich.

“Secara peribadi, saya kecewa dengan keputusan Di Maria kerana kami merupakan rakan baik.

“Dia merupakan pemain penting pasukan sama seperti Xabi tetapi situasi inilah yang perlu kami hadapi. Pemain akan datang dan pergi,” katanya.

Bagaimanapun, Ronaldo menjelaskan keputusan Di Maria menyertai Manchester United adalah tepat kerana The Red Devils merupakan salah satu kelab terbaik di dunia.

“Perpindahan ini bagus buat dirinya kerana United bukan calang-calang pasukan.

“Perpindahan itu juga akan memberikan kesan yang positif dalam karier bola sepaknya dan saya doakan dia agar sentiasa berjaya,” katanya.

Polis bantuan KLIA2 lepaskan penumpang bawa objek menyerupai bom

Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960 - Gambar Fail

PUTRAJAYA: Seorang anggota polis bantuan di KLIA2 ditahan reman sehingga Selasa ini kerana disyaki melepaskan seorang penumpang yang membawa masuk objek menyerupai senjata api ke dalam pesawat.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Mohd Yusoff Awang berkata suspek yang berumur 29 tahun itu ditahan di KLIA2 pada 3.30 pagi tadi.

"Kita menyiasat kes ini di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengulas lanjut, beliau berkata pada Rabu lepas kira-kira pukul 7.40 petang, suspek bersama-sama enam lagi anggota polis bantuan memeriksa bagasi seorang pelajar kolej swasta warga Rusia dan menemui replika berbentuk bom serta pemetik api menyerupai pistol dan pisau.

Pelajar itu mendakwa objek berkenaan dibeli di sebuah kedai di Sunway Pyramid sebagai cenderahati dari Malaysia dan suspek melepaskannya menaiki pesawat tanpa membuat laporan polis.

"Namun selepas tiga hari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung insiden itu tersebar baru suspek membuat laporan polis," katanya.

Mohd Yusoff berkata polis turut berhubung dengan Interpol dari negara pelajar terbabit bagi mengesan identitinya. 

-- Sumber: Bernama