Sunday, 24 August 2014

Tidak sensitif, 2 stesen radio tidak bertafakur

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

KOTA BHARU – Kementerian Komunikasi dan Multimedia kini sedang menunggu laporan berkenaan dua stesen radio tempatan yang didakwa gagal mengikut cadangan bertafakur selama seminit pada Hari Perkabungan, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, dua stesen radio tersebut tidak termasuk 36 stesen yang turut serta dalam istiadat penghormatan sebaik sahaja 20 jenazah tragedi MH17 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kita masih menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung dua stesen radio tersebut.

“... mungkin SKMM boleh beri peringatan kepada mereka kerana tindakan yang dilihat tidak sensitif terhadap suasana itu.

“Selain itu kita mahu tahu apa masalah mereka sehingga seminit yang dicadangkan untuk bertafakur seluruh negara itu gagal dituruti mereka,” katanya.

Beliau hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kota Bharu kali ke-20 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Chat tadi yang turut dihadiri seluruh kepimpinan Umno bahagian itu.

Semalam, jenazah 20 daripada 43 rakyat Malaysia, yang terkorban dalam nahas MH17, tiba di tanah air dengan disambut penuh rasa pilu dan hiba, selepas 37 hari tragedi itu berlaku di Ukraine. - Sinar Harian 

Drama tebusan dua jam berakhir ejekan

Meng jadi tebusan sepupu, buat seketika
Meng jadi tebusan sepupu, buat seketika

CHONGQING - CHINA. Keadaan panik ketika Gong Tseng, 30, menjadikan sepupunya Cui Meng, 29, sebagai tebusan dengan pisau di leher bertukar menjadi insiden memalukan kepada dirinya apabila penonton menjerit menyuruhnya bunuh diri selepas dia melepaskan tebusan dan meletakkan pisau dileher sendiri.

Menurut Mail Online, Tseng menjadikan Meng tebusan selepas berlaku pertikaian keluarga di bandar Chongqing, di selatan China.

Selepas dua jam, polis berjaya memujuknya melepaskan mangsa.

Namun, tindakan Tseng mengalihkan pisau ke lehernya sendiri mengundang ejekan daripada orang ramai yang mengatakan mereka telah penat menunggu dan hanya mahu melihat drama itu berakhir.

Difahamkan, Meng dilihat membuat panggilan telefon ketika menjadi tebusan dan dipercayai menelefon datuknya untuk membantu memujuk Tseng melepaskan dirinya.

Tseng akhirnya mengalah dan meletakkan senjata sebelum ditahan pihak polis.