Tuesday, 19 August 2014

CEO MRT Corp letak jawatan susulan insiden kemalangan meragut 3 nyawa

Azhar Abdul Hamid - Foto MRT Corp

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Wira Azhar Abdul Hamid hari ini mengumumkan meletakkan jawatan susulan kemalangan di tapak pembinaan yang meragut tiga nyawa yang berlaku pada Isnin.

Azhar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata ia adalah selari dengan pendirian MRT Corp yang memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap kematian tiga pekerjanya.

"Sebagai ketua MRT Corp, saya mengambil tanggungjawab peribadi dan ini adalah perkara yang seharusnya dilakukan. Saya telah memaklumkan kepada Pengerusi MRT Corp, Tan Sri Dr Ali Hamsa mengenai keputusan saya itu," katanya.

Dalam kenyataan yang sama, beliau menyatakan kekesalan terhadap apa yang terjadi dengan terkorbannya tiga orang pekerja projek berkenaan.

Azhar turut memaklumkan bahawa MRT Corp dan pihak berkuasa akan bekerjasama menyiasat dan mengenal pasti punca kejadian itu.

"Saya harap semua kelemahan yang dikenal pasti akan diperbetulkan," katanya.

Sementara itu di dalam satu sidang media hari ini, Azhar turut mengumumkan bahawa jawatannya yang kosong akan dipangku oleh Pengarah Perhubungan Pelabur dan Pengurusan Tanah MRT Corp.

"Bermula esok, jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp akan dipangku oleh Pengarah Perhubungan Pelabur dan Pengurusan Tanah MRT Corp, Haris Fadzilah Hassan.

"MRT Corp dan pihak yang terlibat akan membuat siasatan menyeluruh tentang kemalangan tersebut, dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang didapati bersalah, dalam usaha memastikan kejadian itu tidak berulang,” katanya.

Azhar mula menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp sejak 1 September 2011.

Sementara itu, Pengarah Strategik Komunikasi dan Perhubungan Awam MRT Corp, Amir Mahmood Razak berkata, langkah seterusnya selepas pengumuman perletakan jawatan Azhar adalah bergantung kepada pihak Kerajaan yang merupakan pemegang saham 100 peratus di dalam projek itu dalam menentukan penggantinya.

Amir turut memberitahu bahawa siasatan awal menunjukkan kontraktor tidak mengikuti prosedur standard operasi atau SOP yang telah ditetapkan.

Dalam reaksinya Timbalan Pengarah Projek, Maslan Othman pula berkata tindakan perletakan jawatan CEO syarikat itu amat mengejutkan.

Walau bagaimanapun, Maslan menambah bahawa sebagai seorang ketua yang baik seseorang itu kan sentiasa bertanggungjawab terhadap perkara yang berlaku ketika berada di bawah tanggungannya.

“Projek ini telah kehilangan seorang ketua yang bagus,” kata Maslan ketika ditemui di lokasi kejadian. - Astro Awani 

Facebook punca rezeki peniaga dalam talian


APABILA berbicara mengenai laman media sosial, Facebook adalah antara rangkaian media sosial paling popular di kalangan pengguna laman maya terutamanya bagi mereka yang 'aktif' berinteraksi menerusi Internet. 

Menurut laporan media tempatan, Malaysia telah dikenali sebagai pengguna Facebook ke-18 tertinggi di dunia berdasarkan 15 juta pengguna laman sosial yang diasaskan Mark Zuckerberg itu.

Namun mutakhir ini, laman sosial itu disalahgunakan berikutan wujudnya beberapa kes penghinaan di Facebook terhadap isu-isu sensitif rakyat negara ini khususnya hal-hal agama dan kaum, termasuk menghina Yang di-Pertuan Agong.

Jumaat lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kerajaan setakat ini menerima 2,000 laporan melibatkan penyalahgunaan Facebook.

Sehubungan itu, kementerian akan menjalankan kajian bagi mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung tindakan yang perlu diambil termasuk kewajaran menutup laman sosial berkenaan.


JEJAS PENIAGA ONLINE

Ekoran pandangan berkenaan, banyak pihak mempertikaikan akan kewajaran menutup Facebook. Kerajaan sendiri, menurut Ahmad Shabery tidak berhasrat berbuat demikian memandangkan ia agak mustahil kerana terdapat sejumlah 15 juta akaun pengguna di Malaysia dengan sebahagiannya selesa berniaga secara dalam talian, berinteraksi dengan keluarga dan berkomunikasi dengan rakan taulan.

Mengupas hal berkaitan, Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM) Mohd Azrul Mohd Nor berkata cadangan untuk menutup laman sosial Facebook adalah kurang bijak.

Beliau berkata cadangan itu bukan hanya akan menjejaskan individu yang terlibat dalam perniagaan dalam talian malah sebilangan besar kos pengurusan, pembelajaran, operasi pemasaran sekaligus menyebabkan mereka kehilangan pelanggan tetap.

"Berdasarkan data persatuan 85 peratus daripada peniaga bergantung kepada sumber utama iaitu 'fan page' untuk menjual barangan, perkhidmatan dan produk mereka malah ada antara mereka sudah bertahun-tahun lamanya menggunakan laman itu.

"Isu utama adalah penyalahgunaan dan Facebook adalah 'tools' yang diterima pakai oleh hampir seluruh dunia dan apabila berlaku penyalahgunaan ini, isunya bukan 'tools' tetapi berpunca daripada individu itu sendiri," katanya kepada Bernama.


EKONOMI DIGITAL

Mengulas lanjut, Mohd Azrul berkata kepelbagaian saluran komunikasi membuktikan negara sedang menuju ke arah ekonomi digital ini adalah sejajar dengan perubahan keadaan semasa.

Sehubungan itu, beliau berkata cadangan untuk menutup laman Facebook perlu dikaji dengan terperinci serta mengambil kira kesan dan akibat kerana ia membabitkan banyak pihak.

"Menutup atau menyekat laman tersebut bukanlah satu-satunya jalan terbaik sebaliknya pendekatan berhemah seperti mendidik individu itu daripada melakukan kegiatan tidak berfaedah.

"Contohnya di China menutup akses laman Facebook dan menggunakan enjin laman sosial sendiri namun apakah jalan penyelesaiannya? kerana sehingga kini masih lagi maklumat lain boleh disampaikan," katanya.

Mohd Azrul berkata lambakan aplikasi-aplikasi seperti WhatsApp, WeChat, dan Twitter adalah kaedah yang banyak diguna pakai oleh peniaga untuk berinteraksi secara terus bersama pelanggan mereka.

"Ini tidak menunjukkan bahawa dengan mempunyai medium komunikasi era baharu, ia sesuatu yang buruk," katanya.


NILAI KEUSAHAWANAN

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan penyalahgunaan Internet misalnya seperti menabur fitnah sememangnya tidak untuk mudah dilenyapkan namun masalah ini boleh dikurangkan dengan kerjasama daripada pelbagai pihak.

Mohd Azrul turut berharap kerajaan memperbanyakkan perbincangan bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang menceburi bidang perniagaan melalui Internet agar membantu golongan tersebut untuk terus maju ke tahap yang lebih tinggi.

"Sayang... jika fokus kepada perkara negatif sahaja tetapi tidak memberi tumpuan kepada nilai keusahawanan yang semakin 'hidup' daripada Internet dan khususnya laman sosial seperti Facebook," katanya. 


FACEBOOK BANTU PENIAGA

Sementara itu, seorang peniaga dalam talian Nur Atikah Mohamed Ali Piah, 25, berkata laman Facebook merupakan 'ruang' yang banyak membantu peniaga-peniaga kecil untuk memulakan peniaga tanpa mengeluarkan kos yang besar.

Beliau berkata peniaga merupakan golongan yang paling merasakan kesannya jika laman sosial tersebut ditutup.

"Bagi peniaga online banyak strategi pemasaran yang digunakan peniaga seperti Instagram dan blog akan tetapi Facebook ini mempunyai paling ramai pengguna malah ia amat mudah.

"Laman Facebook juga amat popular di kalangan pelajar yang ingin mencari duit poket sendiri dengan berniaga melalui Internet," katanya.

Memulakan perniagaan dalam talian sejak empat tahun lalu, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ieka berkata sebagai seorang pengguna mereka perlu bijak dan beretika ketika menggunakan laman media sosial untuk ke arah yang lebih baik.

"Jangan disebabkan 'nila setitik, rosak susu sebelanga'. Hanya kerana salah seorang, peniaga seperti kami terpaksa menerima tempiasnya," katanya. - Bernama